Food Bank selamatkan 3.7 tan lebihan makanan

May Ing (tiga dari kiri) dan Dr Nomee Ashikin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Harapan Kasih Food Bank Negeri Perak.
May Ing (tiga dari kiri) dan Dr Nomee Ashikin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Harapan Kasih Food Bank Negeri Perak.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan program Food Bank di Perak berjaya menyelamatkan 3.7 tan lebihan makanan dengan memberi manfaat kepada kira-kira 2,100 penerima.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Wong May Ing berkata, data direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak itu dijangka terus meningkat terutama dengan pelaksanaan projek perintis Harapan Kasih Food Bank yang akan dimulakan bulan depan.

Menurutnya, program dengan kerjasama Persatuan Amal Isteri Harapan Perak (Kasih Perak) itu kini dalam peringkat akhir dan dilaksanakan secara berfasa.

"Untuk fasa pertama, projek perintis ini akan melibatkan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Tambun. Sebanyak 40 keluarga di bawah kelompok B40 terpilih menerima bantuan mengikut bekalan makanan.

"Fasa kedua dan ketiga pula akan dimulakan Januari hingga Februari depan melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 120 keluarga dari Teja, Pasir Pinji dan Manjoi," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kasih Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman.

May Ing berkata, projek itu merupakan inisiatif peduli rakyat dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat yang kurang berkemampuan.

Katanya, ia secara tidak langsung membantu pihak pasar raya dalam mengurus lebihan makanan secara sistematik.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini terdapat enam penyumbang terdiri daripada pasar raya, pengilang dan kedai-kedai makanan di seluruh negeri terlibat sama dalam program ini.

"Kita sedang usahakan untuk bekerjasama dengan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) pula," katanya.

Pelancaran logo Harapan Kasih Food Bank dijangka disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersempena Hari Tindakan Iklim Peringkat Negeri Perak di Kuala Kangsar pada 24 November ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!