Sedia pelan elak krisis air berulang
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menyediakan beberapa pelan bagi memastikan krisis air pada tahun 1991 tidak berulang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, ia termasuk pelaksanaan kaedah lain sebagai tambahan bagi menjamin sumber air yang mencukupi.
Menurutnya, Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang berusaha meningkat dan mengekalkan paras air di semua empangan, penambahbaikan loji rawatan dan pengepaman air sungai ke kawasan tadahan di negeri itu untuk jangka masa panjang.
"Kerajaan negeri menyasarkan paras empangan ini mampu mencapai pada tahap 95 peratus pada 25 Disember depan kerana empangan utama, Durian Tunggql (DT) meningkat satu peratus setiap hari.
"Seperti yang dinyatakan (jawapan bertulis) antaranya merancang pembinaan Empangan Jerneh, Alor Gajah bagi menampung air mentah 100 juta sehari dari Sungai Rembau dengan anggaran kos RM198 juta, telaga dalam dan loji rawatan Sungai Siput, membangunkan saluran paip dari Tasik Biru ke DT, dan projek sistem takungan air atau 'Off River Storage' (ORS)," katanya.
Mohd Sofi (PH-Durian Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) sama ada krisis bekalan air bakal berulang pada 2021 ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, Seri Negeri, Ayer Keroh,di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan Damien Yeo (DAP-Duyong) mengenai kelewatan dan kurang menepati jadual lori tangki air, Mohd Sofi berkata, kerajaan negeri menghadapi masalah kekurangan bantuan lori tangki membekalkan air terawat daripada beberapa negeri jiran seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang pada awal krisis air namun berjaya diatasi seminggu kemudian.
Jelasnya, masalah tekanan air rendah di rumah pangsa khususnya di Kota Laksamana juga akan diatasi sama ada mengeluarkan peruntukan pembinaan rumah pam di kawasan itu atau cara lain yag lebih wajar.
Menjawab soalan tambahan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) mengenai tiada pengisytiharan catuan bekalan air ketika krisis bekalan air beberapa bulan lalu, Mohd Sofi berkata, pelan catuan air di negeri itu ditangguhkan kerana hujan sudah mula melanda negeri itu pada 29 September walaupun permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah diluluskan.
"Kita tidak sempat melaksanakan catuan air kerana sudah mendapat sumber air melalui hujan. Walaupun tiada catuan, pengagihan bekalan air bersih melalui lori tangki tetap dilaksanakan sehingga paras air di empangan kembali pulih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!