SOSMA: Peruntukan menindas dan kejam perlu dipinda, kata Gobind

Gobind (tiga dari kiri) menerima memorandum daripada 50 wakil keluarga lima tahanan SOSMA di luar Parlimen hari ini. - Foto Facebook Gobind Singh Deo
Gobind (tiga dari kiri) menerima memorandum daripada 50 wakil keluarga lima tahanan SOSMA di luar Parlimen hari ini. - Foto Facebook Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan mana-mana peruntukan bersifat 'oppressive' dan drakonian atau menindas dan kejam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) perlu dipinda atau dimansuhkan.

Gobind berkata, beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Saya rasa kita ambil pendirian bukan sahaja sekarang tetapi (dari) dahulu bahawa peruntukan dalam SOSMA itu adalah peruntukan yang oppresive dan draconian.

“Kita ada satu undang-undang yang membenarkan tahanan 28 hari tanpa ada sebarang hak tahanan tersebut untuk hadir di hadapan mahkamah dan untuk mahkamah buat keputusan sama ada ya atau tidak untuk lanjutkan atau sebaliknya. Ini perkara yang luar biasa dan disebut sebagai menindas,” katanya kepada pemberita selepas menemui wakil keluarga tahanan SOSMA di luar bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurut Gobind, di bawah peruntukan SOSMA sekarang, selepas suspek dituduh di mahkamah, tidak ada peruntukan yang membenarkan jaminan.

“Kalau menang bicara mereka tetap ditahan sehingga habis proses rayuan,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan perkara yang disebut sejak dahulu lagi bahawa ia tidak adil dan pindaan serta pemansuhan peruntukan berkenaan perlu dibuat dengan kadar segera.

Tegas beliau, rakyat menilai apa yang kerajaan laksanakan dan menambah kata pindaan dan pemansuhan tersebut perlu dibuat dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kira-kira 50 wakil keluarga lima tahanan SOSMA diketuai isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, V Umah Devi berkumpul di luar bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi membantah penggunaan SOSMA dan penahanan tanpa bicara.

Memorandum itu kemudian diterima pegawai kanan Yang Dipertua Dewan Rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!