Israel bakal adakan pilihan raya ketiga?
TEL AVIV - Israel terus berdepan kebuntuan politik selepas pemimpin Parti Biru dan Putih, Benny Gantz juga gagal untuk membentuk kerajaan gabungan yang mungkin menyebabkan Tel Aviv terpaksa mengadakan pilihan raya ketiga dalam tempoh setahun.
Bulan lalu, pesaing utamanya, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang kini berada di ambang kejatuhan juga tidak berjaya menubuhkan kerajaan gabungan selepas Gantz berkeras enggan bekerjasama di bawah pentadbirannya susulan skandal rasuah yang menghimpit pemimpin Parti Likud terbabit.
Gantz sekali lagi menuding jari menyalahkan blok haluan kanan atas kegagalannya untuk memecahkan kebuntuan politik di Israel yang berlarutan sejak April lalu.
'Sejak 28 hari lalu, saya telah cuba sedaya upaya untuk membentuk kerajaan baharu," katanya kelmarin menjelang tarikh akhir yang diberikan Presiden Reuven Rivlin.
Kegagalan Gantz menyebabkan negara itu kini mempunyai tempoh 21 hari yang mana Parlimen boleh mencalonkan salah seorang daripada 120 ahli Knesset untuk menubuhkan kerajaan gabungan yang memerlukan 61 undi majoriti.
Jika masih gagal, pilihan raya baharu bakal diadakan dalam tempoh 90 hari dan keputusannya dijangka sama seperti pemilihan pada April dan September lalu.
Dalam satu kenyataan, bekas Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman yang memimpin Parti Yisrael Beitenu bertindak menyalahkan Gantz dan Netanyahu serta menegaskan tidak akan menyokong mereka.
"Gantz jelas tidak bersedia menerima rancangan Presiden tentang kerajaan gabungan itu manakala Netanyahu pula tidak sanggup berpisah dengan blok ultra-Ortodoks," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!