Iktisass pemangkin kemahiran tinggi

A
A
A

SEJAK dahulu lagi, sistem pendidikan Technical and Vocational Educational and Training (TVET) di Eropah dikagumi ramai. Menjadi kebanggaan ibu bapa di Jerman andai anak mereka berjaya mengikuti pengajian Dual Vocational Education and Training atau `Dual VET - Work Based’ selepas melepasi ujian sukar Tahap Menengah Rendah atau Lower Secondary Level atau dalam bahasa Jerman `Hauptschule’ pada usia 15 tahun.

Pertengahan tahun ini, penulis berpeluang meninjau sistem pendidikan TVET di Eropah bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Penulis mendapati program`Dual VET - Work Based’ melibatkan remaja usia 15 hingga 18 tahun untuk tempoh tiga tahun. Pelajar didedahkan kepada pembelajaran praktikal tiga hari di industri dan dua hari di sekolah.

Kerajaan Jerman menyediakan bas sekolah untuk pelajar berulang alik dari sekolah ke syarikat tempat mereka menjalani praktikal industri dan memperoleh elaun bulanan agak lumayan.

Selepas menamatkan program `Dual VET - Work Based’ pada umur 18 tahun, pelajar-pelajar boleh terus bekerja atau melanjutkan pengajian Dual Degree Program (Dual VET) atau College of Applied Science (Fachhochschule) atau Vocational Academy (Berulfsakademie) daripada peringkat ijazah sehingga mampu memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) pada usia 23 atau 24 tahun.

Menyedari imej TVET masih kelam di negara ini, Selangor mengorak langkah mahu meningkatkan kemahiran tinggi dengan melancarkan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Selangor (Iktisass).

Pada sidang Belanjawan 2020, Selangor memperuntuk RM20 juta untuk Iktisass. Pada 2020 juga, sebuah Institut Iktisass akan ditubuhkan melibatkan kerjasama Bahagian Sumber Manusia Negeri Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan beberapa rakan kerjasama industri atau Industry Cooperation Partners (ICP).

Institut Iktisass akan cuba menandingi program TVET di Eropah khususnya di Jerman melibatkan sijil vokasional rendah dan menengah, diploma, sarjana muda, ijazah sarjana serta PhD.

Antara kelebihan Institut Iktisass Selangor ialah mendidik dan meningkatkan pelajar secara Total Intergrated Automated (TIA) bagi meningkatkan bakat masyarakat tempatan dan pekerja mahir rendah kepada pekerja kepada tahap kemahiran profesional terlatih tempatan mengenai teknologi digital industri sekali gus menjadi pembekal kemahiran tinggi untuk Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

ALLAH SWT telah menggalakkan kepada manusia supaya meningkatkan ilmu bagi meningkatkan darjat kemahiran dalam Surah Al-Mujaadilah [58:11] bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis (ilmu), maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untuk kamu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah (menegakkan ilmu), nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui (dengan) apa yang kamu kerjakan.”

Kemahiran tinggi sangat penting kerana teknologi industri digital menjurus kepada kepenggunaan IR 4.0. Persekitaran industri terkini dan akan datang akan dilengkapi dengan peralatan, perkakasan dan sistem perisian digital yang memerlukan pekerja mahir profesional terlatih dengan perkhidmatan latihan vokasional dan teknikal tinggi.

Perkhidmatan pendidikan kemahiran dan penyelidikan akan menjadi pemacu industri pasaran pekerjaan yang kompleks, inovatif dan komprehensif.

Artikel Berkaitan:

Iktisass juga akan menawar program persijilan kemahiran profesional, diploma kemahiran sehingga ke peringkat sarjana dan PhD secara persijilan anugerah berkembar atau 'twin award certification' dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan digital (digital manufacturing), robotik dan automasi, rangkaian perindustrian digital dan sains data, keselamatan siber (cyber security), data raya (big data), kejuruteraan automotif dan perindustrian kimpalan.

Dengan peruntukan permulaan RM20 juta, Selangor akan memfokus kepada lima kluster industri terpenting – jaminan makanan, sains hayat, elektrik dan elektronik, sistem kejuruteraan, pengangkutan dan peralatan. Selangor mahu menyediakan kepakaran dan pelbagai kemahiran tinggi untuk meningkatkan pelaburan langsung tempatan atau local direct investment (LDI) serta pelaburan langsung asing atau 'foreign direct investment' (FDI) ke arah IR 4.0 berdasarkan konsep teknologi discruptive.

Teknologi discruptive ialah prosedur terkini menggantikan teknologi yang sedia ada bagi mempercepat pengeluaran produk atau proses sedia ada dan mewujudkan industri baru yang lebih berdaya tahan serta berdaya saing. Sebagai contoh, sesuatu yang kreatif dan berinovasi bagi mewujud pasaran baru dan rantaian perniagaan bernilai tinggi.

Untuk terus berdaya saing dalam era IR 4.0 dan teknologi industri digital, penulis menyarankan ibu bapa menggalakkan anak mereka menceburi pendidikan program kejuruteraan TVET sehingga ke PhD.

Lenturan kemahiran tinggi dan mandiri perlu bermula daripada rebung. Penulis juga bercadang mengadakan kem TVET pada musim cuti persekolahan melibatkan remaja sehingga 17 tahun. Penulis mahu mereka boleh mencipta perabot moden selepas menjalani kem TVET berkenaan.

*Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!