Kami sampai tak mandi....
MELAKA TENGAH - Lebih 2,000 penduduk yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini menggesa pihak berkuasa membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air sejak Khamis lalu.
Masalah itu telah menjejaskan kehidupan mereka terutamanya penghuni yang tinggal di tingkat atas sehingga ada mendakwa sudah tidak mandi.
Penduduk Blok D, Mohd Radzi Ibrahim, 37, berkata, isu gangguan bekalan air sebegitu tidak pernah dialaminya sejak tinggal di perumahan terbabit lebih dua tahun lalu.
"Kita alami masalah bekalan air sejak Khamis malam, sehinggalah hari ini (Ahad) masih sama, setitik air pun tidak keluar, jadi kami terpaksa bawa baldi, gayung dan bekas untuk pergi ke surau. Ini menyusahkan kami terutama keluarga yang ada anak kecil, warga tua atau OKU.
"Ada di kalangan kami sampai tidak dapat mandi, jadi saya berharap masalah ini dapat selesaikan dengan segera," katanya.
Penduduk Blok B, S. Saraswathi, 42, pula berkata, keadaan tersebut membuat dirinya serta keluarga menjadi tidak selesa kerana ketiadaan air untuk membersihkan diri apatah lagi setelah pulang dari kerja.
"Biasanya perempuan ada masalah datang bulan jadi keadaan ini membuatkan kami tidak selesa, bila hari sekolah nak urus anak-anak semua, hendak masak pun sukar.
"Kalau saya ada duit banyak, dah lama sewa homestay buat sementara tetapi macam kami di sini pendapatan tidak seberapa, hanya cukup-cukup pakai sahaja," katanya yang menjelaskan dua anaknya di Tingkatan Dua dan Lima tidak ke sekolah sejak Khamis lalu kerana masalah ini.
Manakala Siti Zarah Borhan, 36, yang mendiami Blok A berkata, dia terpaksa berulang-alik dari surau ke rumah di tingkat enam, sekurang-kurangnya lima kali sehari bagi mendapatkan bekalan air.
"Saya terpaksa menyelesaikan urusan tiga anak berusia tujuh dan tiga tahun, manakala bayi lima bulan terlebih dahulu sebelum mempersiapkan diri sendiri yang bekerja sebagai operator di shif malam.
"Sementara isi air, suami tolong jagakan bayi tetapi sampai bila masalah ini nak selesai. Anak saya esok perlu ke sekolah, agak kecewa kerana ia menyukarkan kami menjalankan kerja rumah seperti biasa," katanya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Abdullah Omar, 53, berkata masalah itu menyusahkan penduduk terutama warga emas dan anak kecil serta mereka yang tinggal di tingkat atas untuk mengangkut air.
"Saya difahamkan punca daripada tangki utama. Saya naik ke tangki dua hari lalu dan melihat sendiri, hanya air yang susut tetapi tidak tahu dari mana masalahnya," katanya yang turut bimbang bekalan air di surau surut dikhuatiri solat jemaah terjejas.
Beliau berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada pegawai wakil rakyat di kawasan berkenaan, Paya Rumput namun berharap pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dapat menghantar bekalan air melalui lori tangki bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Jurucakap LPM mendakwa, kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pecah di Krubong Utama.
"Kawasan perumahan itu tidak ada tangki individu (setiap rumah), bekalan air terus ke dua tangki utama. Apabila paip sudah dibaikpulih semalam, ia sepatutnya mengambil masa sehari untuk penuh tetapi penduduk kerap gunakan bekalan di tangki utama, mungkin tempohnya untuk penuh terpaksa mengambil masa panjang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!