Apabila rokok menjadi larangan

No Image Caption
A
A
A

BERMULA 1 Januari 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 akan bermula sepenuhnya.

Perkara itu turut ditegaskan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Kata beliau, mereka atau perokok yang ingkar akan dikenakan tindakan iaitu saman.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga mengatakan kerajaan tidak akan berganjak dengan pelaksanaan larangan merokok di premis makanan meskipun dibantah golongan perokok tegar.

Maka, penguatkuasaan itu memberikan kelegaan kepada mereka yang tidak merokok khususnya golongan wanita, warga emas dan juga kanak-kanak.

Pada dasarnya, penguatkuasaan itu baik untuk semua pihak malahan sewajarnya dikuatkuasakan lama dulu namun pelbagai aspek juga perlu diambil kira sebelum dilaksanakan.

Tetapi syukurlah ia berjaya dilaksanakan bermula Januari lalu dan kerajaan telah membuat penguatkuasaan pendidikan sehingga hujung tahun ini.

Tempoh tersebut adalah wajar dan bersesuaian kerana ia mengambil masa untuk mendidik selain hendak mengubah sikap ini bukan boleh sehari dua.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, ketika pada awal pelaksanaannya pelbagai reaksi dan juga jenaka dibuat oleh netizen di laman sosial sehingga ada yang mengukur jarak dibenarkan merokok sejauh tiga meter dari tempat makan.

Segalanya disambut baik namun tidak dinafikan ada yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan itu.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman tujuh individu yang membantah keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan semua premis makan sebagai kawasan larangan merokok.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta hujah kedua-dua pihak dan mahkamah berpuas hati bahawa tindakan KKM itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sungguhpun merokok bukan satu kesalahan jenayah atau diharamkan di Malaysia tetapi tembakau dan rokok terbukti secara kajian saintifik memudaratkan mereka dan orang sekeliling.

“Mereka boleh merokok selagi mana mereka mahu merokok tetapi dengan syarat mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Henti jual

Sokongan demi sokongan diterima oleh semua pihak dan tidak ketinggalan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan pengusaha restoran menghentikan penjualan rokok bagi menyahut seruan kerajaan.

Saranan itu juga disokong Persatuan Pengguna Negeri Sembilan bahawa usaha murni tersebut boleh mengurangkan orang ramai untuk membeli dan menghisap rokok di kawasan premis itu.

Pengerusinya, Khairuddin Yunus berkata, pihaknya menyokong hasrat kerajaan yang mengharamkan menghisap rokok dalam premis makanan, dan menetapkan jarak tiga meter untuk mereka yang ingin merokok.

Berikutan itu, Restoran Pelita telah menghentikan penjualan rokok di 28 cawangannya di seluruh negara sejak 16 Januari lalu sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan.

Perbuatan merokok itu hakikatnya tidak baik untuk kesihatan dan perkara itu telahpun diuar-uar KKM melalui media cetak, elektronik termasuk media sosial selain paparan di kotak rokok dengan pelbagai testimoni.

Terbaru, Sinar Harian turut menyiarkan sebuah video paru-paru hitam perokok tegar.

Video mengejutkan itu memaparkan paru-paru hitam milik lelaki berusia 52 tahun yang menjadi perokok tegar selama 30 tahun.

Paru-paru dikeluarkan oleh seorang doktor dan pasukannya susulan pemiliknya yang mati otak berhasrat mendermakan organnya namun tidak dapat dilakukan selepas mendapati paru-parunya berwarna hitam.

Justeru, tepuklah dada tanya selera. Semuanya bergantung kepada kesedaran sendiri dan salah satu usahanya melalui penguatkuasaan.

Tetapi janganlah pula kita secara kasarnya memaki atau membuat tindakan melulu terhadap perokok ini.

Terdapat pelbagai kaedah yang disedia KKM untuk membantu golongan perokok tegar menghentikan tabiat mereka itu.

Seperti yang dimaklumkan KKM, masyarakat digesa mematuhi peraturan itu selaras hasrat kerajaan memastikan tempat makan bebas asap rokok untuk melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!