Kereta terbang berpotensi dilaksanakan di Malaysia
SHAH ALAM - Dron kereta terbang berpotensi dilaksanakan di negara ini.
Perkara tersebut diakui Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Zamri Omar yang berpendapat, ia mampu dilaksanakan, namun pelaksanaannya mungkin bukan waktu terdekat.
Menurutnya, hal ini kerana kereta terbang perlu melalui peraturan undang-undang penerbangan dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang ketat dan tidak mengganggu laluan kapal terbang.
"Dari segi kemampuan kepakaran, kita boleh buat sendiri dan mampu buat tetapi apabila melihat kepada pelaksanaannya, mungkin ia bukan waktu terdekat terutamanya peraturan penerbangan belum ada yang menyokong penerbangan kereta terbang ini.
"Kereta terbang yang diuar-uarkan kerajaan bukan untuk tujuan komersial dan bukan juga untuk kegunaan awam, sebaliknya berdasarkan contoh model prototaip seperti ditularkan, ia adalah dron penumpang yang mempunyai kawalan dari stesen kawalan," katanya.
Katanya, kos kereta terbang berasaskan dron itu mungkin agak tinggi kerana bukan sahaja melibatkan pembuatan tetapi merangkumi penyelidikan dan pembangunan selain untuk jangka waktu tertentu kos pengeluaran mungkin akan berkurangan.
Zamri berkata, ketika ini beliau bersama kumpulannya turut membangunkan dron kargo bertujuan mengangkut atau menghantar barangan dari satu tempat ke tempat lain dan menjadi antara medium baharu sistem pengangkutan dan penghantaran barang selain kapal terbang, kapal serta lori.
Biarpun dipanggil dron kargo, namun peranannya boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti penyemburan baja, mencari dan menyelamat, memadam kebakaran atau sebagai dron penumpang.
Sementara itu bagi usahawan dron, Nicholas Lim pula melihat ia sebagai satu perkembangan positif sekiranya dron itu mampu menjadi sebuah kereta terbang.
"Saya yakin kita ada potensi dan dengan teknologi dron yang memang boleh terbang sehingga 8 kilometer dengan ketinggian 120 meter di Malaysia tetapi bagi pasaran luar negara, ia boleh mencecah sehingga 500 meter.
"Sebab setakat ini, dron (dijual) yang ada untuk bagi menjayakan sesi penggambaran untuk merakam gambar dan video filem sahaja," katanya.
Dia juga berpendapat, dengan adanya dron kereta terbang, ia sudah tentu mempercepatkan masa perjalanan seseorang dan dia turut mengakui menjual drone yang paling mahal dan canggih dalam anggaran sekitar RM30,000 berdasarkan pasaran tempatan.
"Namun begitu, seperti helikopter, ia mungkin hanya untuk orang tertentu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!