Usah gundah jika diuji dengan kemiskinan
AZLAN MUSTAFA (bukan nama sebenar) hidup dalam serba kekurangan dan agak miskin. Kehidupannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Begitupun, Azlan tidak pernah mengeluh dengan musibah yang diberikan kepadanya itu. Sebaliknya, dia berusaha keras untuk menyara isteri dan tiga orang anak mereka. Salah seorang daripada anaknya ditimpa penyakit yang sukar diubati.
Bahkan, kudratnya sendiri tidak cukup kuat untuk melakukan kerja berat kerana pernah terlibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu yang membataskan segala pergerakannya. Dia hanya bekerja kampung seperti bercucuk tanam dan memotong rumput. Adakalanya dia akan membuat kerja-kerja sampingan seperti mencuci pinggan mangkuk di restoran.
Isterinya pula tidak bekerja demi menjaga anaknya yang sakit. Cuma apabila berkelapangan, isteri Azlan akan membuat kuih untuk dijual di gerai berhampiran rumah mereka.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan situasi Azlan. Pun begitu, lelaki itu tidak pernah kesal dengan kehidupan yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta. Dia yakin di sebalik musibah itu, pasti terselit suatu hikmah.
Penulis percaya, pasti ramai yang pernah berjumpa dengan insan berhati cekal seperti Azlah, bukan? Sesungguhnya sifat positif yang ada pada dirinya itu menjentik keinsafan dalam diri kita. Ada lagi orang yang lebih susah daripada kita.
Namun, tidak semua orang mampu berdepan dengan situasi Sulaiman itu. Malah, ada khuatir jika dirinya ditimpa kemiskinan. Masakan tidak, manusia secara fitrahnya sukakan kebendaan.
Kenapa ALLAH SWT menjadikan manusia itu ada yang kaya dan miskin? Benarkah orang miskin itu mudah masuk ke dalam syurga?
Ujian
Semua persoalan itu, Sinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.
Ujar beliau, ALLAH SWT menjadikan hamba-NYA sama ada kaya atau miskin sebagai satu bentuk ujian dalam kehidupan.
Firman ALLAH SWT: "Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan DIA Maha Perkasa, Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 2)
"Ujian itu, lain orang, maka lainlah bentuknya. Ada orang, ALLAH uji dengan kemiskinan, tetapi kelebihannya di tempat yang lain. Ada orang ALLAH jadikannya kaya, tetapi ada kekurangan di tempat lain.
"Jika dalam kalangan hamba-NYA diuji dengan kemiskinan, ALLAH sebenarnya mengujinya bagaimana dia bersabar dan memperbaiki keadaan hidupnya untuk menjadi orang yang lebih baik. Sebaliknya, orang yang kaya pula, ALLAH hendak uji bagaimana cara dia bersyukur? Apakah dia mensyukuri atau dia kufur nikmat?
"ALLAH SWT sebenarnya adil kepada hamba-hamba-NYA. Bahkan, DIA tidak zalim kepada hamba-hamba-NYA," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Baik kaya mahupun miskin, Imam Muda Hassan mengingatkan kita bahawa kedua-dua keadaan itu sebenarnya merupakan musibah.
Jelas agamawan itu, musibah itu bermaksud apa sahaja yang menimpa manusia sama ada dalam bentuk yang baik atau tidak baik. Barangkali orang yang ditimpa kemiskinan merasakan ia merupakan musibah kepada dirinya.
"Namun, boleh jadi juga orang yang kaya menganggap kekayaan itu bukan musibah, tetapi ia sebenarnya satu bentuk musibah. Apa yang lebih menakutkan lagi apabila ia datang dalam bentuk istidraj.
"Istidraj itu seperti ALLAH memberi seseorang itu kekayaan dengan nikmat dan kesenangan hidup, tetapi pada masa sama untuk menjauhkan dia daripada-NYA. Begitupun, orang miskin pula, jika dia bersabar dia akan jauh daripada istidraj," ujar beliau.
mam Muda Hassan meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang hukum berdoa meminta miskin.
Ujar beliau, Nabi Muhammad SAW melarang kita berdoa perkara-perkara yang tidak baik. Baginda menganjurkan kita berdoa supaya dijauhkan daripada sedih, hutang, malas dan sebagainya.
Kepada satu soalan, beliau menegaskan: "Nabi Muhammad SAW pernah menjadi orang kaya sebelum diangkat menjadi rasul, tetapi selepas itu tidak lagi. Malah, baginda SAW tidak pernah pula melarang sahabat untuk memiliki kekayaan. Itu bermaksud, baginda tidak melarang kekayaan. Walaupun baginda boleh sahaja memilih untuk jadi kaya seperti sahabat selepas kerasulan, tetapi Rasulullah SAW memilih untuk menjadi sederhana bagi mengelak menjadi fitnah kepada umatnya.
"Ya, memang orang Islam kena kaya, tetapi jangan terlalu mengejar harta hingga terlupa maksud tujuan hidup. Sebab itulah Nabi Muhammad memilih jalan yang sederhana dan baginda juga pada masa sama tidak melarang kekayaan. Baginda tahu, sahabat-sahabat yang kaya itulah akan menyokong perjuangan baginda dan membantu yang miskin. Maka sebab itu kita ada zakat untuk seimbangkan antara golongan kaya dan miskin," katanya.
Alirkan kebendaan ke akhirat
Mengulas tentang maksud kebendaan menurut perspektif Islam, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani pula melontarkan pandangannya.
Ujar beliau, Islam mengajar umatnya supaya jangan melihat kebendaan untuk di dunia yang fana ini sahaja, tetapi ia mesti dialirkan ke akhirat ALLAH SWT.
"Bukanlah Islam menolak dalam hidup kita untuk mendapatkan rumah yang besar, kereta yang mewah dan kebendaan dalam kehidupan, tetapi agama suci itu sebenarnya mengajar kita bahawa janganlah terpesona dengan harta benda itu hingga meninggalkan ketaatan kepada ALLAH.
"Ia dengan cara bawalah harta benda yang kita miliki ke akhirat. Pada masa sama, jangan sampai kita merasakan diri kita gagal jika tidak dapat kebendaan di dunia ini. Sebenarnya, kita belum gagal. Kegagalan yang sebenar ialah apabila kita gagal untuk membawa kebendaan itu ke akhirat," katanya ketika ditemui Sinar Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Jelas Ustaz Dusuki, ALLAH SWT tidak akan memberikan kebendaan itu kepada semua hamba-NYA kerana DIA lebih mengetahui apa yang sesuai untuk kita.
"Jika ALLAH bagi (kebendaan), nescaya kita akan melampau di atas muka bumi ini. Oleh sebab itu, ALLAH SWT menurunkan rezeki kepada kita dengan kadar yang sesuai untuk kita," katanya.
Agamawan itu turut menasihatkan kita agar jangan gundah dengan kemiskinan. Apabila ALLAH mengurniakan satu ganjaran atau memberi suatu keadaan, kesusahan dan kesukaran, ia sebenarnya bukan untuk membuatkan kita 'terperosok' jauh dalam hidup.
"Sebaliknya, ingatlah apabila kita diberi keadaan yang demikian, sebenarnya ALLAH telah angkat lagi darjat kita (mungkin untuk kita) dekat dengan rasul atau mendekatkan kita dengan ganjaran untuk memudahkan masuk dalam syurga ALLAH.
"Ini disebabkan orang miskin dan sabar itu, ALLAH permudahkan dia ketika sesi soal jawab di hadapan-NYA nanti. Tidak akan banyak sesi soal jawab orang itu jika dibandingkan dengan orang kaya yang kufur nikmat.
"Ini kerana ada dinyatakan bahawa siapa yang banyak ditanya (golongan kaya) di hadapan ALLAH akan mudah masuk ke neraka. Jadi, janganlah bersedih dengan kemiskinan kita, tetapi sedihlah dengan keimanan kita yang berkurangan. Dalam hidup kita, biar kita kuat dengan keimanan kita kepada ALLAH SWT," jelasnya.
Soal jawab di hadapan ALLAH
Ditanya tentang orang miskin yang dikatakan ramai masuk ke dalam syurga, Ustaz Dusuki menjelaskan, apa yang dimaksudkan ayat berkenaan adalah kerana tidak banyak sesi soal jawabnya apabila di hadapan ALLAH SWT di hari akhirat kelak.
"Ya, apabila dia hidup teguh dengan keimanannya kepada ALLAH dan tidak terpedaya dengan ujian dunia, lalu ALLAH jadikan pada diri kita kesusahan itu untuk dijadikan kemudahan kita di akhirat nanti," katanya.
ALLAH SWT berfirman: "Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (Surah al-Syarh, ayat 5-6)
Apapun, Ustaz Dusuki mengingatkan kita yang diuji dengan kesusahan dalam hidup agar meneguhkan keimanan kepada ALLAH SWT.
"(Apa sekalipun ujian) Biar teguh dan istiqamahlah dengan Islam. Kemudian, jangan kita sekali-kali melarikan diri daripada mentaati perintah ALLAH. Sebaliknya, dekatkanlah lagi diri kita kepada ALLAH.
"Apabila kita dekatkan lagi kepada ALLAH, selepas kesusahan itu, ALLAH akan memudahkan hidup kita. Barangkali sekarang kita tidak mampu tersenyum, tetapi kita pasti akan tersenyum indah saat kita menghadap di hadapan ALLAH SWT. Sabarlah seketika, dunia ini tidak panjang. Akhirat itu jauh lebih kekal dan lebih baik dalam hidup kita," ujarnya.
Semua boleh masuk syurga tanpa mengira sesiapa
BAIK orang itu miskin mahupun kaya, ia bukanlah ukuran untuk seseorang memasuki syurga ALLAH SWT.
Pendakwah, Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkata, semua orang Islam soleh yang mendapat rahmat ALLAH boleh meraih syurga-NYA tanpa mengira latar belakang mereka.
"Jika dilihat secara mudah, memang benar orang miskin yang soleh ramai (ditempatkan) di dalam syurga. Begitu juga dengan orang kaya soleh yang mendapat rahmat daripada ALLAH SWT juga ramai dalam syurga.
"Kalau kita berfikir bahawa orang miskin mudah masuk syurga, sementara yang kaya pula 'merangkak-rangkak' masuk ke syurga, bagaimana pula dengan Saidina Usman dan Abdul Rahmad bin Auf, sahabat Nabi Muhammad SAW yang kaya?" soalnya ketika ditemui Sinar Islam di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ujar Ustaz Hanafi, perkara berkaitan kaya dan miskin itu amat berkait rapat dengan hikmah menunaikan zakat.
"Zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan harta seperti emas, perniagaan, penternakan dan sebagainya. Hendak bayar zakat ini, kena jadi orang kaya," jelasnya.
Apapun, agamawan itu menegaskan, Islam bukan agama kemiskinan. Malah, hadis yang menyatakan Nabi Muhammad SAW membaca doa meminta kemiskinan itu sebenarnya bukanlah bermaksud demikian.
"Ketika itu, nabi bersama sahabat-sahabat yang miskin. Itu adalah motivasi supaya orang-orang miskin tidak berasa terasing dengan baginda. Ia merupakan kaedah psikologi baginda. Selain itu, dalam doa nabi itu, Rasulullah SAW sebenarnya hendak memberikan nasihat kepada orang yang memiliki harta supaya menjadi seorang yang tawaduk dan khusyuk serta tidak menjadi sombong.
"Islam bukan agama kemiskinan, sebaliknya Islam merupakan agama kekayaan. Maka bangkitlah wahai si miskin, berusahalah berhabis-habisan untuk menjadi pembayar zakat," nasihat beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!