Budayawan, sejarawan perlu kaji sosiobudaya Melayu: Rais
MELAKA TENGAH - Budayawan dan sejarawan perlu mengkaji dan menilai semula sejarah dan sosiobudaya Melayu pada sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara ini.
Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana banyak perkara terutama aspek budaya diabaikan selepas kedatangan Islam sedangkan ia perlu dimartabatkan sebagai satu khazanah dan peninggalan sejarah tidak ternilai berikutan mempunyai kekuatan tersendiri melibatkan kepentingan masyarakat Melayu.
“Saya melihat (kajian) sejarah mesti mencantumkan sejarah pra-Islam dan selepas Islam yang memerlukan kita ambil yang terbaik seperti melibatkan budaya dan bahasa. Melayu hebat bukan hanya selepas abad ke-14.
“Kita jangan buang kekuatan yang kita ada sebelum (kedatangan) Islam. Ia boleh diteroka untuk generasi akan datang kerana sebelum Islam, Melayu sudah agung, diiktiraf dan berjaya membina sosiobudaya yang kuat,” katanya selepas merasmikan Wacana Ilmuan dan Seniman sempena Pertemuan Selat Melaka di sini semalam.
Menurutnya, Indonesia antara negara yang boleh dijadikan contoh terbaik dalam usaha mengiktiraf sejarah dan sosiobudaya dan bahasa sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara itu.
"Rakyat negara itu amat menghormati tinggalan sejarah Candi Borobudur yang dibina pada abad kelapan dengan memelihara serta mencantikkannya untuk generasi akan datang, berbeza dengan rakyat negara ini seolah-olah Melayu wujud selepas kedatangan Islam," katanya.
Rais berkata, dari aspek bahasa pula, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tidak mencampuradukkannya dengan perkataan bahasa Inggeris perlu ditekankan dalam kalangan rakyat di negara ini terutama bangsa Melayu.
"Secara dasarnya, empat peratus perkataan yang digunakan masyarakat di negara ini dalam satu ayat bahasa Melayu menggunakan perkataan bahasa Inggeris dan ia secara tidak langsung merosakkan keaslian bahasa ibunda yang mempunyai banyak pilihan perkataan untuk digunakan.
“Ada dalam kalangan kita segan hendak menggunakan perkataan bahasa Melayu, misalnya 'nanti saya call ya'. Kenapa kita tidak guna 'nanti saya panggil ya' atau 'nanti kita lunch ya' daripada 'nanti kita makan tengah hari ya',” katanya.
Menurutnya, peranan memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak antaranya warga pendidik, individu dan juga pemimpin di negara ini.
"Pemimpin negara perlu menutur atau berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan betul dan lebih baik kerana mereka adalah contoh terdekat dalam kalangan rakyat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!