Masa terbaik sambar Pochettino
PENGURUSAN Arsenal digesa mempertimbangan Mauricio Pochettino sebagai pengendali baharu kelab utara London itu bagi mengantikan Unai Emery.
Bekas pemain Arsenal, Martin Keown berkata, berdasarkan situasi Arsenal sekarang, Pochettino adalah calon terbaik menggantikan Emery di Emirates.
"Semua pihak menyatakan tiada keperluan untuk panik di Emirates tapi sebenarnya Arsenal sedang menuju ke arah kepanikan.
“Keupayaan Pochettino membawa Tottenham berada dalam kelompok terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan bajet terhad wajar membuka mata pengurusan The Gunners," katanya.
Pochettino dipecat pengurusan Tottenham selepas finalis Liga Juara-Juara itu bermula hambar pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Tottenham kemudian melantik bekas pengendali Manchester United, Jose Mourinho bagi mengemudi kelab bagi baki saingan musim ini.
Keown berkata, beliau mengagumi pendekatan diambil pengendali dari Argentina dalam membentuk kelab utara London itu.
"Cara Pochettino membina Tottenham dengan hanya dibarisi pemain-pemain khasnya pelapis cukup luar biasa.
"Inilah sebenarnya yang Arsenal perlukan, seorang pengendali yang mampu memotivasikan para pemainnya.
"Biarpun saya akui Pochettino memiliki rekod buruk bersama Spurs, namun kredibilitinya dalam meletak Spurs di pentas Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi beliau tumpuan kelab besar Eropah lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!