Penyakit artritis psoriatik bukan setakat kulit bersisik
ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
DOKTOR, saya menghidap penyakit psoriasis. Sejak kebelakangan ini saya mendapat masalah sendi. Kadangkala ia berasa sakit. Doktor memaklumkan ia barangkali artritis psoriatik. Bolehkah doktor terangkan lebih lanjut tentang penyakit ini?
- GADIS DERITA, MAWAR OTHMAN, 31, KAJANG SELANGOR
JAWAPAN:
CIK MAWAR, artritis psoriatik (PsA) adalah satu bentuk artritis kronik yang boleh dihidapi oleh sesetengah pesakit psoriasis.
Gejala-gejala ringan hanya akan 'marak' sekali-sekala manakala gejala yang lebih teruk boleh menyebabkan kerosakan sendi jika tidak dirawat.
Kebanyakan pesakit mengalami psoriasis terlebih dahulu dan kemudian artritis psoriatik. Pun begitu, masalah sendi kadangkala boleh bermula sebelum psoriasis muncul.
Keadaan itu menjejaskan sendi besar, khususnya anggota bawah, sendi distal jari tangan dan jari kaki serta boleh membebankan bahagian belakang dan sendi sakroilium pelvis.
Bagi orang yang hidup dengan artritis psoriatik, melakukan tugasan harian seperti membutangkan baju atau mengancing zip pakaian dan mengangkat benda berat adalah satu cabaran.
Ia adalah satu bentuk keradangan artritis. Keadaan itu berlaku apabila sistem imun menyebabkan keradangan yang boleh mengakibatkan sendi bengkak, sakit dan kaku.
Keadaan tersebut boleh dialami oleh penghidap psoriasis iaitu penyakit autoimun kronik yang menjejaskan kulit; biasanya dicirikan oleh tompok menebal yang diliputi sisik sel kulit mati berwarna putih.
Penyakit genetik
Dalam kalangan kira-kira 500,000 hingga 800,000 orang rakyat Malaysia mempunyai psoriasis, dianggarkan 15 hingga 20 peratus daripada mereka menghidapi artritis psoriatik.
Seperti psoriasis, kemaraan artritis psoriatik berlaku tanpa diduga. Artritis psoriatik boleh terjadi pada bila-bila masa. Pun demikian, bagi kebanyakan orang, ia terjadi pada usia antara 30 dan 50 tahun.
Oleh sebab artritis psoriatik adalah penyakit genetik, seseorang berkemungkinan besar untuk mengalami keadaan itu jika ahli keluarganya seorang penghidap keadaan yang sama.
Gejala-gejala artritis psoriatik mungkin tidak sama bagi setiap pesakit.
Antara gejala-gejala yang biasa termasuk sakit pada bahagian bawah belakang, lesu, kuku menggerutu, sendi bengkak, kaku dan jari tangan dan jari kaki bengkak.
Jika keradangan tidak dikawal, daya pergerakan pesakit akan merosot dan menjejaskan kualiti hidup.
Tiada cara sembuh, tetapi ada rawatan membantu
SOALAN 2
Doktor, saya telah disahkan oleh doktor bahawa menghidap artritis psoriatik. Saya begitu takut untuk menghadapi masa depan. Tambahan dengan pergerakan saya yang terbatas akibat sakit-sakit sendi yang dialami. Apakah rawatan untuk penyakit ini dan bolehkah ia dibiarkan?
-JEJAKA GUSAR, ADAM JOHAN, 37, NILAI, NEGERI SEMBILAN
JAWAPAN;
TUAN, buat masa ini tiada cara untuk menyembuhkan artritis psoriatik, bagaimanapun terdapat rawatan untuk membantu mengawal gejala-gejala penyakit.
Jangan dibiarkan sahaja keadaan itu. Jika artritis psoriatik dibiarkan tanpa dirawat, keradangan boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sendi dan tisu yang boleh mengakibatkan kehilangan upaya!
Hidup dengan artritis psoriatik sememangnya membawa pelbagai cabaran. Selain menderita kerana kesakitan, kekakuan dan kelesuan, penyakit itu juga tidak dinafikan boleh menjejaskan emosi pesakit.
Kajian menunjukkan bahawa pesakit artritis psoriatik lebih besar kemungkinan mengalami kemurungan dan keresahan, berbanding pesakit yang menghidap psoriasis sahaja.
Ada kalanya pesakit merasa kecewa dengan kehidupan kerana keadaan menyukarkan mereka untuk melakukan tugas-tugas mudah.
Itu seterusnya akan menyebabkan tekanan yang boleh mengakibatkan kemaraan penyakit malahan kesakitan.
Sesungguhnya pesakit artritis psoriatik perlu memahami keadaan mereka dan mendapatkan bantuan profesional di peringkat awal.
Itu kerana diagnosis awal dan rawatan segera penting untuk mencegah kerosakan dan kehilangan fungsi sendi.
Memahami bebanan yang ditanggung setiap hari oleh pesakit psoriasis and artritis psoriatik, Novartis berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap keadaan itu menerusi inisiatif pendidikan seperti bengkel ‘Get a Grip on Psoriatic Arthritis’ (Memahami dan Menangani Artritis Psoriatik).
PROFIL
Profesor Madya Dr Sargunan Sockalingam,
Pakar Perunding Reumatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya.
***Artikel ini dibawakan oleh Novartis yang menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan inovatif bagi menangani keperluan pesakit dan masyarakat yang sentiasa berubah-ubah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!