Berapa simpanan hasil royalti petroleum?

Azan (tengah) sewaktu sidang media yang di adakan di Pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.
Azan (tengah) sewaktu sidang media yang di adakan di Pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu didesak untuk mengisytiharkan jumlah simpanan terkumpul hasil bayaran royalti petroleum dan gas yang diterima Terengganu sejak tahun 1978.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, rakyat negeri ini berhak untuk mengetahui jumlah simpanan yang ada, apatah lagi Terengganu dalam proses untuk penerimaan baki bayaran bagi tahun 2018.

Menurutnya, keputusan untuk mengasingkan simpanan sebanyak RM100 juta setiap tahun daripada terimaan hasil petroleum dan gas dibuat dalam Sidang Dun Terengganu semasa pemerintahan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad untuk tujuan penggunaan pada masa hadapan, jika hasil petroleum dan gas menyusut atau sudah tiada.

“Jika jumlah ini dipatuhi daripada awal, jumlah simpanan dari tahun 1978 sehingga tahun 2000 (hasil wang royalti) berjumlah RM2.2 bilion manakala dari tahun 2000 hingga 2018 (hasil wang ehsan), jumlahnya adalah RM1.8 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan simpanan bernilai RM4 bilion.

“Perkara ini mesti diperjelaskan oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini, bagaimanakah kedudukan simpanan ini, masih ada atau tidak, atau berapakah jumlah yang ada. Ini adalah jumlah khusus yang menjadi hak kepada generasi akan datang.

“Ia sebagai jaminan terhadap kedudukan rakyat Terengganu pada masa akan datang, terutamanya dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan seperti bidang pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Terengganu di sini, hari ini.

Azan Ismail.
Azan Ismail.



Jelas Azan, jumlah simpanan hasil terimaan royalti petroleum dan gas pernah diisytiharkan sebelum ini dan menegaskan, rakyat berhak mengetahui kedudukan semasa jumlah simpanan itu.

“Kerajaan perlu isytihar, ini adalah masa terbaik untuk lakukannya. Bagaimanakah kedudukannya, adakah simpanan itu masih ada atau sudah digunakan?,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Azan menjelaskan, pihaknya melihat Terengganu masih lagi terikat dengan penerimaan hasil royalti petroleum dan gas, malah Belanjawan 2019 menunjukkan kedudukan sama, iaitu 85 peratus pendapatan atau penjanaan perbelanjaan daripada hasil petroleum dan gas.

Katanya, ia tidak langsung menggambarkan pembaharuan dari sudut mencari kaedah, hasil atau pendapatan kerajaan negeri.

“Sekiranya tiada sumber daripada terimaan khas ini, maka kita boleh katakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas agak mustahil untuk melunaskan tanggungjawab mereka untuk mentadbir Terengganu.

“Sebab itu kita lihat kedudukan mendesak kerajaan pusat untuk melunaskan bayaran ini sangatlah tinggi dan keras disuarakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan pusat telah pun melunaskan beberapa bayaran, cuma bayaran yang didesak ini adalah bayaran terakhir, yang sedang dibincangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!