'Sorok' RM600,000: Pengawal keselamatan mengaku salah
RAUB - Dua pengawal keselamatan masing-masing dihukum penjara 12 bulan dengan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang kutipan RM600,000.
Hukuman ke atas tertuduh, Mohd Razali Kamarulzaman, 29, dan Mohamad Asmil Kadni, 26, diputuskan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Samirah Khalili.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama melakukan pecah amanah terhadap wang kutipan dari sebuah cawangan bank di sini.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan syarikat berkenaan di Raub antara jam 7.30 petang hingga 10.50 malam, 14 November lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengawal keselamatan 'sorok' RM600,000
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.
Berdasarkan fakta kes dikemukakan, kedua-dua tertuduh yang dilantik syarikat kawalan keselamatan Securiforce cawangan Raub diarah membuat kutipan wang di sebuah cawangan bank di bandar Raub berjumlah lebih RM2.8 juta jam 12 tengah hari, 14 November lalu.
Kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi rakan setugas ditugaskan untuk menghantar wang tersebut ke ibu pejabat Securiforce di Kota Damansara, Selangor bagi proses penyimpanan.
Van yang dinaiki mereka bersama wang yang dibawa tiba kira-kira jam 10.57 malam dan menyerahkan empat beg kanvas berisi wang kutipan berkenaan.
Hasil pemeriksaan di pusat pengurusan tunai Securiforce mendapati satu beg berisi wang RM600,000 yang sepatutnya diserahkan telah hilang.
Susulan kehilangan itu, pengurus syarikat Securiforce cawangan Raub membuat laporan polis 15 November dan hasil siasatan mendapati tertuduh mengambil wang tersebut ketika dalam perjalanan ke Kota Damansara.
Wang tersebut dimasukkan ke dalam beg galas milik mereka dan berpakat menyembunyikan wang tersebut di sebuah hotel selepas kembali semula ke daerah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!