Institusi pondok bukan untuk golongan bermasalah
TANAH MERAH - Institusi pondok bukan untuk golongan bermasalah dan seharusnya persepsi itu harus diperbetulkan memandangkan pusat pengajian berkenaan mampu melahirkan generasi ulama.
Pengerusi Pondok Pengajian Islam Al-Baroqah, Wan Adnan Wan Mahmood berkata, ada yang berpendapat dengan menghantar anak bermasalah ke pondok, maka selesailah masalah akhlak dan disiplin anak-anak kerana pelajar berkenaan akan didik dengan bimbingan agama.
“Namun persepsi itu harus diperbetulkan memandangkan institusi pondok yang menekankan pengajian Islam merupakan pusat bimbingan yang menekankan bidang agama dan akademik seiring dalam asas pengajiannya.
“Maka pelajar yang menerima didikan melalui institusi pondok perlu diberi pengiktirafan dan tidak mustahil mereka juga bakal menggantikan golongan ulamak masa kini,” katanya.
Wan Adnan berkata, apa yang perlu kini adalah kepercayaan ibu bapa kepada pihak pengajian pondok bagi mendidik generasi yang bukan sahaja celik al-Quran malah turut mendapat pasaran pekerjaan apabila menjadi lulusan pondok.
“Setakat ini, kesedaran masyarakat mengenai lulusan pondok kian meningkat dan di Pusat Pengajian Pondok Al-Baroqah, kita lihat pelajar-pelajar muda cukup bersemangat menjalani pengajian dan mereka rata-ratanya di peringkat umur yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun sehingga 25 tahun.
“Moga dengan usaha mendidik golongan dapat menjadikan mereka berjaya dalam bidang agama dan akademik dan melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah termasuk di Jordan, Mesir dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!