Pahang perkenal teksi, bike-hailing
KUANTAN - Kerajaan Pahang bakal memperkenalkan perkhidmatan teksi dan bike-hailing bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di negeri itu.
Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perkhidmatan itu bakal dilaksanakan melalui anak syarikat kerajaan Pahang, Pahang Go Sdn Bhd.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi merebut peluang pelaksanaan perkhidmatan itu melalui projek perintis bike-hailing yang dijangka dilaksanakan kerajaan bermula Januari 2020 seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 5 November lalu.
"Kerajaan negeri melalui Pahang Go Sdn Bhd mengambil peluang itu dan akan memohon lesen perkhidmatan dengan agensi pengangkutan awam darat tahun depan.
"Perkhidmatan ini bakal dilaksanakan di bandar-bandar utama di negeri ini bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam untuk kemudahan rakyat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, perkhidmatan yang bakal diperkenalkan itu menggunakan konsep teksi dan bike-hailing sedia ada.
"Kita akan memberi tumpuan kepada proses permohonan lesen supaya perkhidmatan ini dapat dilaksanakan tahun depan.
"Setakat ini belum ada tarikh yang ditetapkan bagi pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata, jika perkhidmatan itu berjaya dilaksanakan di negeri ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, Pahang Go juga bakal menyediakan kelas tambahan percuma kepada pelajar sekolah menengah terutama bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu, Pahang Go akan menjalinkan usahasama dengan beberapa syarikat di bawah kerajaan negeri (GLC) dan agensi berkaitan.
Selain itu katanya, aplikasi Pahang Go yang diperkenalkan kerajaan Pahang mendapat sambutan orang ramai apabila 6,700 pengguna sudah mendaftar dan mendapat rating 4.5 bintang.
"Tempoh percubaannya selama dua bulan dan dalam tempoh itu, segala kelemahan yang ada akan diperbaiki supaya aplikasi ini benar-benar berkesan dan dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!