Wanita hamil mangsa serangan Islamofobia
SYDNEY - Seorang lelaki dari Sydney, Australia didakwa kerana menumbuk dan memijak seorang wanita sarat mengandung dalam insiden yang disifatkan sebuah persatuan Islam sebagai serangan Islamofobia.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki menghampiri sebuah meja diduduki tiga wanita bertudung yang sedang berbual di sebuah kafe di Sydney pada Rabu lalu.
Tanpa sebarang provokasi, suspek berusia 43 tahun itu menyerang mangsa berusia 31 tahun yang dilaporkan mengandung 38 minggu.
Mangsa ditumbuk beberapa kali sebelum rebah lalu dipijak oleh suspek yang kemudian dihalang beberapa individu di lokasi kejadian.
Persekutuan Majlis Islam Australia (AFIC) berkata, suspek kedengaran meluahkan kata-kata kebencian dan anti-Islam terhadap mangsa dan rakan-rakannya ketika menyerang.
"Ini merupakan serangan perkauman dan Islamofobia dan kami mahu kes ini disiasat," kata Presiden AFIC, Rateb Jneid.
Menurut polis, wanita berkenaan dikejarkan ke hospital susulan serangan dan telah dibenarkan keluar sementara suspek yang didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh dan perkelahian tidak dibenar ikat jamin.
Laporan terkini penyelidik Universiti Charles Sturt University mendapati Islamofobia merupakan fenomena berterusan dan wanita bertudung berisiko diserang.
Dari 113 mangsa wanita yang dilaporkan diancam secara fizikal, 96 peratus memakai tudung. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!