Senarai Menteri Persekutuan 2020 tular disahkan palsu
SHAH ALAM - Selepas tular berhubung surat palsu kepada Setiausaha Dewan Rakyat yang mengusulkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, kini tersebar pula laporan memaparkan senarai penuh nama Menteri Persekutuan 2020.
Bagaimanapun, laporan senarai penuh jemaah menteri baharu yang tular itu disahkan tidak benar oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
"Senarai itu palsu dan tak masuk akal langsung," kata sumber pejabat itu ketika dihubungi.
Laporan senarai penuh Menteri Persekutuan 2020 yang tular dalam talian itu memaparkan 31 nama individu yang sebahagiannya adalah nama-nama baharu dan pernah menjadi menteri Kabinet sebelum ini.
Melalui senarai itu, jawatan Perdana Menteri kekal disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antara nama lain yang dinyatakan ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Menteri Dalam Negeri dan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai Menteri Pendidikan.
Nama sebahagian menteri sedia ada juga dilihat bertukar portfolio kementerian termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ditukar portfolio kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sebahagian menteri sedia ada pula dikekalkan portfolio kementerian dan ada juga yang dibuang terus dari senarai jemaah menteri palsu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!