Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti
BANGI - Pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini antaranya untuk memberitahu mereka sudah 'hilang' parti.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditanya mengenai pertemuan yang mencetuskan pelbagai kontroversi itu.
"Saya tanya Azmin apa dia bincang (dalam pertemuan itu), dia kata orang UMNO (Ahli Parlimen BN yang berjumpa dengan Mohamed Azmin) sudah 'hilang' parti.
"(Mereka) tidak tahu apa hendak buat. Jadi mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.
"(Dalam kalangan Ahli Parlimen BN yang adakan pertemuan) ada yang keluarkan kenyataan mereka sokong kepimpinan Mahathir," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini
Anwar gesa Azmin hadir mesyuarat, beri penjelasan
'Bincang projek di pejabat menteri bukan kediaman rasmi'- Najib
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Mohamed Azmin memberitahu intipati pertemuan dengan 17 Ahli Parlimen BN di Putrajaya baru-baru ini.
Sementara itu ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pendekatan yang diambil Mohamed Azmin untuk mengadakan pertemuan tersebut, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada Ahli Parlimen Gombak itu.
"Saya tidak ada pandangan mengenai perkara itu (pendekatan yang digunakan Mohamed Azmin). Beliau punya hak untuk bercakap tentang perkara itu.
"Parti beliau (Mohamed Azmin) akan beritahu sama ada parti (PKR) setuju atau tidak terpulang kepada mereka," katanya.
Pada malam Isnin lalu, Mohamed Azmin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan BN di kediamannya di Putrajaya.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka dalam pertemuan berkenaan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mahu timbalannya itu memberi penjelasan mengenai pertemuan berkenaan yang telah menimbulkan pelbagai persoalan daripada pihak kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!