Pembangkang DUN Perak kecewa
IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kecewa apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak memberikan penjelasan berkaitan rizab dan tunai yang didakwa meningkat.
Ketuanya, Datuk Saarani Mohamad berkata, persoalan tersebut dibangkitkan pada sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2020 pada Isnin lalu namun tidak dijawab ketika sesi penggulungan Menteri Besar Perak itu hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sangsi dengan pertambahan RM342 juta yang didakwa sebagai rizab dan tunai kerajaan berakhir 31 Oktober 2019 sedangkan akaun kerajaan belum ditutup.
"Kita menyatakan keraguan terhadap angka itu kerana menteri besar telah mengumumkan rizab dan tunai pada 31 Oktober 2019 sedangkan rizab dan tunai hanya boleh disahihkan setelah tutup akaun pada 31 Disember 2019 dan telah diaudit baru boleh umum. Kita dapati ada lonjakan RM342 juta jadi dari mana duit itu datang?
"Sungguhpun boleh dibuktikan dari mana duit itu datang, itu tidak boleh diistilahkan sebagai rizab kerana ia wang yang datang hasil pada tahun ini dan sepatutnya berada di dalam akaun semasa kerajaan negeri yang masih boleh dibelanjakan sehingga 31 Disember 2019," katanya kepada pemberita selepas Sidang DUN Perak ditangguhkan di Bilik Sidang Media DUN Perak hari ini.
Saarani berkata, persoalan juga timbul jika berlaku lebihan tunai seperti yang dinyatakan kerajaan tidak sepatutnya membentangkan belanjawan defisit.
Malah katanya, peruntukan bagi pembasmian kemiskinan dan bajet bagi pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri juga tidak sepatutnya dipotong.
Sementara itu, menurut Saarani, Ahmad Faizal terpaksa memendekkan ucapan penggulungan pada hari ini kerana kesilapan yang dilakukan apabila menyentuh perkara sensitif.
"Pada awal penggulungan itu tadi nampak cantik dah tetapi pada akhir-akhir penggulungan beliau menyentuh perkara-perkara sensitif apabila membangkitkan kononnya segala perkara yang berlaku dalam Malaysia disebabkan selama ini kita menyokong seorang pencuri. Kita faham dia maksudkan itu apabila menyebut bossku merujuk kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita bangun membantah kerana sebagai seorang menteri besar tak sepatutnya berkata begitu ketika penggulungan kerana berdasarkan Perkara 36 (2) Perintah-Perintah Tetap iaitu perkara-perkara dalam kes mahkamah tidak sepatutnya dibangkitkan," katanya.
Terdahulu, Sidang DUN Perak hari ini kecoh seketika apabila berlaku perang mulut antara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan wakil rakyat pembangkang berhubung isu 'mencuri' dan 'bossku'.
ARTIKEL BERKAITAN: DUN Perak kecoh perang mulut isu 'mencuri', 'bossku'
Dalam pada itu, Saarani turut kecewa dengan Belanjawan Negeri 2020 yang diluluskan tidak memberikan keadilan kepada golongan-golongan lain seperti petani, peladang, nelayan, pekebun kecil dan lain-lain.
Katanya, bonus yang diberikan kepada penjawat awam sepatutnya dipanjangkan kepada golongan-golongan bawahan memerlukan dengan kaedah selain pemberian wang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!