Contoh-contoh ungkapan keliru

A
A
A

DALAM kamus Dewan Bahasa ada menyatakan maksud keliru. Maksudnya agak terperinci juga walaupun perkataannya agak ringkas. Perlu untuk kita memahami dengan tepat memandangkan ramai yang keliru. Antara maksudnya ialah salah anggap atau membuat keputusan. Yang paling menarik juga perkataan keliru itu sinonim dengan silap, celaru, khilaf, sesat dan kacau.

Saya ada juga cuba mencari peribahasa yang menggunakan perkataan keliru tetapi tidak berjumpa pula. Yang ada hanya pantun tetapi yang menggunakan sinonim perkataan silap, banyak pula peribahasanya.

Peribahasa yang menggunakan perkataan silap itu boleh ditafsirkan sebagai memberi maksud keliru juga kerana apabila keliru menyebabkan kita boleh membuat kesilapan.

Antara peribahasa yang menarik zaman dahulu yang dipersembahkan orang-orang tua bijaksana kita ialah silap mata, pecah kepala. Sekali membacanya, agak keras juga peribahasa itu.

Walaupun begitu, ia membawa erti sebagai peringatan juga kepada kita. Maksudnya iaitu, kalau kurang berhati-hati, tentu akan mendapat bencana. Jadi hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.

Mungkin dalam peribahasa itu bermaksud berhati-hatilah apabila menggunakan mata. Jangan bermata rakus dan meliar ke sana sini. Lebih-lebih lagi bermata keranjang kerana boleh membawa dosa sekali gus pecah kepala.

Peribahasa yang kedua agak menarik juga penuh sindiran yang memberi peringatan. Walaupun tidak menggunakan perkataan keliru tetapi perkataan silap yang sinonim memberi makna sama juga iaitu silap cakap kena radak, hilang jiwa percuma sahaja. Memang keras bunyinya. Namun hendaklah kita berhati-hati dalam bercakap. Bila terlepas cakap, ada yang mendengarnya mungkin akan terasa hati pula.

Bila terasa hati, mungkin menimbulkan dendam. Maka, bila dah berdendam nanti diradaknya pula, percuma sahaja hilang nyawa.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, berkata siang melihat-lihat, berkata malam mendengar-dengar. Ia bermaksud, jika hendak membicarakan sesuatu harus berhati-hati jangan sampai menyinggung perasaan orang.

Mutakhir ini, ramai pula yang tersinggung jiwanya. Jiwa yang tersinggung itu akan memberi malapetaka kepada orang yang menyinggungnya. Tidak tahu kenapa ramai sangat yang suka menyinggung perasaan orang ini.

Berbalik kepada perkataan keliru, saya rasa ramai orang yang keliru sejak akhir-akhir ini. Kekeliruan dalam memahami perasaan rakyat jelata menyebabkan terjadinya salah faham yang berulang.

Saya juga berfikir, sama ada orang ini memang betul-betul keliru atau sahaja buat-buat keliru. Kalau betul-betul keliru boleh dimaafkan dan diberi penerangan supaya tidak tersesat jalan.

Yang parah, apabila ada orang yang buat-buat keliru pula. Itu tidak boleh dimaafkan. Lebih-lebih lagi apabila orang-orang yang buat keliru itu cuba mengelirukan rakyat jelata dan lebih parah walaupun sudah beberapa kali dibetulkan kelirunya tetapi masih tidak faham dan buat-buat keliru lagi.

Saya boleh beri contoh yang banyak juga tentang ungkapan orang yang pada pandangan saya buat-buat keliru ini. Kadang-kadang kekeliruan mereka menyebabkan saya berfikir apakah yang ada di dalam otak mereka.

Contoh ayat orang yang buat-buat keliru ialah: “Masa telah tiba untuk para pemimpin ambil berat dan prihatin terhadap beberapa perkara untuk memahami mengapakah terdapat masalah terhadap gabungan dan bagaimanakah cara untuk mengubah keadaan ini.

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah kita kena tunaikan janji yang kita sudah buat. Oleh itu, saya rasa penting bahawa kita memberi tumpuan untuk menunaikan janji itu seperti mana digariskan dalam manifesto pilihan raya.”

Itu antaranya. Banyak lagi yang saya boleh tunjuk tentang kekeliruan orang bijak pandai ini dalam memahami sesuatu.

Yang lebih keliru, ayat-ayat itu diungkapkan setelah beberapa kali juga kalah dalam pilihan raya kecil.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!