Bayu panas dari Tanjung Piai
BARANGKALI perkembangan pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai lebih mengejutkan semua berbanding keputusan PRK itu.
Seperti gempa susulan, kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Sabtu lalu menimbulkan kekecohan politik negara sepanjang minggu ini.
Umum mengetahui Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRK Tanjung Piai. Memang itu kubu kuat BN, jadi ia sememangnya sudah dijangka tetapi menang dengan majoriti 15,086 undi amat menakjubkan.
Kalau ikut perkiraan mudah, kemenangan BN berlaku disebabkan peralihan undi dalam kalangan penyokong PH sendiri.
Tak perlulah dipanjangkan lagi perbincangan tentang keputusan PRK Tanjung Piai itu. Ia jelas memperlihatkan kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Yang menang di sana adalah rakyat bukannya parti atau orang politik.
Rakyat sememangnya sudah matang dan berupaya bertukar arah pada bila-bila masa. Sebagaimana sifat politik yang dinamik dan rasional, begitu jugalah rakyat pada hari ini.
Dalam konteks PRK Tanjung Piai, isyarat yang cuba dihantar sangat jelas. Kekecewaan dan kemarahan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRK14) semakin meninggi.
Ketidakakuran kerajaan menunaikan janji, ditambah pula prestasi pemerintah yang sederhana membuatkan mereka nekad protes. Sebab itu, rakyat kembali mengundi BN walaupun masih belum lupa dengan dosa-dosa ketika menjadi pemerintah.
Sudah tiga kali isyarat tanda protes itu dihantar melalui PRK. Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau mencetus permulaan gelombang seismik untuk protes terbesar di Tanjung Piai.
Akibatnya, kemuakan rakyat terhadap 'politiking' berlebihan dan tidak berkesudahan itulah yang meledak dalam PRK Tanjung Piai.
Ironinya, tatkala PH sepatutnya bermuhasabah mendalam dan kembali memperkukuhkan parti selepas kecewa di Tanjung Piai, ada pula babak lanjutan diperhidangkan.
Perjumpaan sulit
Insiden perjumpaan sulit di Putrajaya malam Isnin lalu bukan sahaja tidak baik untuk PH, malah untuk rakyat.
Khabar angin tentang konspirasi jalan belakang berkenaan jawatan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan baharu semacam tak mampu disorok lagi.
Kalau itu menjadi kenyataan, maka bertambah parahlah defisit kepercayaan rakyat kepada PH. Harus diingat antara penyebab penolakan rakyat di Tanjung Piai adalah disebabkan kecelaruan kepimpinan dalam PH.
Sehingga ke hari ini, PH masih tidak kelihatan sebagai satu pakatan politik yang mantap dan kuat. Perkara itu sudah tentu akan menjejaskan pentadbiran dan pengurusan disebabkan parti ialah tonggak kekuatan kerajaan.Tidak keterlaluan untuk katakan barangkali perlu berada dalam standby mode.
Kebarangkalian untuk pembubaran pramatang Parlimen seterusnya kepada Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat ini tidak mustahil untuk berlaku.
Dengan kerapuhan kerajaan PH dari sudut angka dan pergeseran dalaman kepimpinannya, memang ada potensi untuk perkara tersebut berlaku.
Walaupun secara peribadi penulis melihat pembubaran Parlimen bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut terkini.
Tetapi, kalau perjumpaan sulit itu diambil kira, kita sudahpun melihat pratonton andaian perbincangan. Bukan sedikit yang hadir ke perjumpaan itu, walaupun masih belum mencukupi keperluan yang sebenar.
Hebatnya, bukan PH sahaja bergegar, malah BN pun terasa. Sampaikan sesama rakan pun bergaduh mulut di Parlimen gara-gara isu gambar viral yang disalah tafsir dalam WhatsApp grup parti.
Mungkin ada yang mengatakan itu sekadar drama sampingan bagi meredakan keadaan tetapi hakikat bahawa ada sesuatu yang berlaku di balik tabir dan dalam perusahaan nampaknya sudah tidak boleh dinafikan lagi.
Kekalahan di Tanjung Piai mungkin rahmah buat PH kerana masih banyak masa untuk membetulkan keadaan. Cuma, sejauh mana PH mahu proaktif dan responsif terhadap kekalahan itu menjadi tanda tanya.
Apa yang berlaku kini memerlukan lebih daripada sekadar merombak Kabinet tetapi ketegasan, keberanian dan kepimpinan luar biasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin dalam PH.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!