Imej negara tercalar angkara sindiket penipuan
SHAH ALAM - Sindiket penipuan dalam talian didalangi oleh warga China yang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Rabu lalu telah menjejaskan imej baik negara.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kewujudan sindiket antarabangsa itu membuktikan jenayah 'scammer' semakin kritikal.
"Kalau sudah berlaku macam ini, tentunya akan menjejaskan imej negara kita dan Malaysia seolah-olah menjadi tempat sindiket penipuan beroperasi.
"Walaupun operasi itu menyasarkan rakyat China sebagai mangsa penipuan, namun tidak mustahil terdapat sindiket-sindiket lain di Malaysia yang menjadikan rakyatnya sendiri mahupun negara luar sebagai sasaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Rabu lalu, Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan atas talian melibatkan warganegara China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.
Dalam serbuan itu, seramai 680 warga China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Scam: Imigresen tahan 680 warganegara China
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kedudukan strategik Cyberjaya menjadi sasaran sindiket tersebut kerana ia merupakan hab penting koridor raya multimedia (MSC) dengan akses internet yang bagus.
"Kemudahan infrastruktur yang ada di Malaysia menjadi tarikan untuk sindiket beroperasi dan Cyberjaya sangat dikenali kerana mempunyai jaringan internet yang baik untuk memudahkan sindiket dijalankan.
"Mereka menggunakan pas pelawat untuk masuk ke Malaysia malah tinggal di sini untuk tempoh yang lama.
"Jadi, kerajaan perlu melihat semula sistem ini supaya Malaysia tidak dijadikan tempat sasaran sindiket," katanya.
Tambahnya, pemilik premis perlu memantau kegunaan premis yang disewakan supaya tempat itu tidak menjadi sasaran penjenayah sindiket.
"Walaupun pemilik premis berkenaan adalah warga tempatan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tindakan tegas pemilik premis dan pihak berkuasa adalah sangat penting untuk memastikan tempat yang disewakan tidak menjadi dalang sindiket," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kerana berjaya menumpaskan sindiket penipuan terbesar itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!