Penagih dicekup selepas 31 jam curi motosikal
SABAK BERNAM - Seorang penagih dadah sempat melarikan motosikal curi selama 31 jam sebelum dicekup polis di Tali Air 10, Pasir Panjang di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, hasil risikan dan maklumat awam, polis berjaya menahan suspek yang berusia 35 tahun pada jam 10 pagi.
"Penahan suspek membawa kepada penemuan sebuah motosikal curi jenis Yamaha 100 Lagenda bernilai RM1,600 dan set anak kunci motosikal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi berkata, mangsa melakukan kegiatan itu pada jam 3 pagi di sebuah rumah di Parit 5 Barat, Sungai Besar awal pagi Isnin lalu.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pesawah berusia 24 tahun ternampak suspek dikenalinya melarikan motosikal yang diletakkan di bawah rumah.
"Mangsa menyedari bunyi pelik bawah rumah dan kemudiannya melihat melalui tingkap rumah mendapati seorang lelaki melesapkan motosikalnya," katanya.
Katanya, semakan polis mendapati suspek sebelum ini mempunyai dua rekod jenayah dan narkotik lampau.
"Sehingga kini polis masih menahan suspek terlibat untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!