'Kekalahan di Tanjung Piai bukti umur PH makin pendek'
KOTA BHARU - Kekalahan besar yang berlaku di Tanjung Piai membuktikan jangka hayat umur Pakatan Harapan (PH) semakin hampir kepada penyudahannya.
Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassurrudin Daud berkata, pihaknya yakin jika di mana sekalipun PRK diadakan selepas ini rakyat akan terus bangkit menolak kerajaan yang banyak membohongi mereka.
"Kalau PRK sekecil itu pun boleh kalah, inikan pula PRU. Kekalahan yang amat memalukan.
"Ini menggambarkan bagaimana pengundi di Tanjung Piai mewakili hasrat pengundi di seluruh negara yang tidak boleh menerima penipuan dan penyelewengan yang dilakukan PH walaupun baru setahun lebih memerintah.
"Kemusnahan yang dilakukan mereka dirasai rakyat seluruh negara tanpa mengira bangsa.
"Mereka (rakyat) benarkan mereka memerintah negara sebab rakyat terpengaruh dengan janji-janji manis dan pembohongan yang kita lihat dalam parlimen dan sebagainya," katanya semasa menyampaikan ceramah di sini malam tadi.
Ceramah tersebut berlangsung sempena Himpunan Kesyukuran dan Ceramah Muafakat Nasional di Wisma Tok Guru, Pendek, Salor di sini.
Turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan sayap kepimpinan Pemuda UMNO Kelantan.
Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga memberitahu, sifat-sifat orang munafik ini ada tiga tanda iaitu bila bercakap, dia berbohong, bila diberi amanah, dia khianati, dan bila berjanji, dia mungkiri.
Katanya, ketiga-tiga sifat ini dilihat ada dalam pemimpin PH sehingga menyebabkan rakyat di Tanjung Piai bangkit kembali.
"Mereka sendiri sedar kerana mereka menang atas dasar penipuan. Mereka menipu rakyat. Tanjung Piai adalah kawasan pedalaman, kalau pedalaman pun boleh beri keputusan macam itu, inikan pula di kawasan bandar.
"Kita yakin dan percaya ini adalah satu isyarat dalam PRU akan datang. Sebab itu kita mesti rapatkan perpaduan kita. Bukan hanya dengan orang Islam, jangan ketepikan orang bukan islam.
"Yakinlah semua yang Islam adalah agama yang membawa kepada keselamatan. Kamu terima islam, kamu selamat.
"Dengan muafakat nasional yang kita wujudkan, alhamdulillah semakin hari semakin banyak sokongan yang kita terima. Kalau rakyat Tanjung Piai 'boleh ajar', tidak mustahil rakyat Kelantan juga boleh buat," katanya.
Mengulas mengenai bangunan Wisma Tok Guru yang sebelum ini menjadi rebutan seorang bekas kepimpinan Pas, beliau berkata, sebagai pemimpin bertanggungjawab seharusnya harta Pas tidak diambil walaupun sudah tidak berada di dalam parti itu lagi.
"Sebenarnya sebelum ini pun bangunan ini memang digunakan pihak Pas dan ahlinya. Tetapi apabila ada di kalangan pemimpin yang keluar Pas dan nak bawa bersama harta Pas, ini yang jadi masalah.
"Kita kalau mahu keluar, keluar sajalah, jangan ambil harta Pas. Kita kena jadi orang yang bertanggungjawab.
"Sudah banyak kita tumpang jasa Pas ini. Adalah tidak munasabah kita mengkhianati perjuangan Pas. Kita buat himpunan ini tanda kita bersyukur kerana kemenangan berpihak kepada kita,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!