'UMNO, BN jangan termakan umpan lawan'
SHAH ALAM - Semua kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu terus bergerak ke depan walaupun terdapat dakwaan mengatakan kononnya sekumpulan Ahli Parlimen parti itu sudah hilang kepercayaan kepada parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau turut mengingatkan pemimpin parti itu agar tidak terperangkap dan termakan umpan pihak lawan yang sedang 'kelemasan mencari nyawa' dan berantakan sesama sendiri.
"Sudah tiba masanya semua kepimpinan UMNO dan BN kembali merapatkan saf.
"Dengan kenyataan media oleh 15 Ahli Parlimen ini, maka usah kita menoleh ke belakang lagi, ayuh bersama-sama kita mara terus ke hadapan sederap dan sehaluan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, sekumpulan Ahli Parlimen BN yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin di Putrajaya Isnin lalu menafikan dakwaan kononnya mereka mengadu sudah 'hilang' parti.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu 'hilang' parti
Menerusi kenyataan bersama semalam, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Salim Sharif, Datuk Jalaluddin Alias, Ramli Mohd Nor, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Datin Mastura Mohd Yazid berkata, pertemuan itu hanya berhubung kait usaha pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.
Kenyataan tujuh ahli parlimen itu kemudiannya disokong lapan lagi Ahli Parlimen BN iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Hasbullah Osman, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Mohd Nizar Zakaria, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Datuk Ahmad Nazlan Idris.
Asyraf Wajdi berkata, apa yang penting kini UMNO perlu terus muhasabah, merendah diri dan melakukan pembaikan dalaman parti supaya dapat menagih kembali keyakinan dan sokongan rakyat dengan tawaran baharu bersama rakan-rakan Muafakat Nasional.
"Hakikatnya rakyat sedang menilai parti dan mahu BN kembali berkuasa tetapi dengan cara terhormat.
"Kemenangan di Tanjung Piai adalah isyarat jelas bahawa rakyat marah dan sudah mual dengan Kerajaan PH, namun tidak semestinya rakyat bersedia menerima kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!