Pelajar ugut serang sekolah ditahan, senapang AR-15 dirampas

Villanueva menunjukkan gambar senjata yang dirampas dalam sidang akhbar di Los Angeles semalam. - Foto AFP
Villanueva menunjukkan gambar senjata yang dirampas dalam sidang akhbar di Los Angeles semalam. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Seorang pelajar berusia 13 tahun dan ahli keluarganya ditahan berhubung ancaman serius terhadap sebuah sekolah menengah di Los Angeles Selatan.

Dalam serbuan itu, sepucuk senapang separa automatik jenis AR-15 dan senarai pelajar yang disasarkan turut dirampas.

Jurucakap Jabatan Sherif, Rudy Perez berkata, ancaman dibuat terhadap Sekolah Menengah Animo Mae Jemison Charter di Willowbrook, sebuah sekolah piagam bebas iaitu tiada polis ditempatkan di sekolah tersebut.

"Pelajar melaporkan kepada pentadbiran sekolah bahawa remaja terbabit mengugut untuk menembak rakan sekelas dan kakitangan institusi pendidikan itu," jelas Sherif Alex Villanueva.

Bertindak atas laporan itu, pegawai sherif menggeledah rumah pelajar berkenaan di mana senjata, 100 pusingan peluru, peta asas lukisan tangan dan senarai nama pelajar serta kakitangan sekolah ditemui.

Pegawai tidak mengulas lanjut mengenai peranan anggota keluarga pelajar dalam ugutan tersebut, namun mereka ditahan kerana disyaki membuat ancaman jenayah.

Menurut pihak berkuasa, senjata itu tidak didaftarkan tetapi mempunyai nombor siri.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana melakukan perkara yang tepat dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa dan dapat mengelakkan kemungkinan berlakunya tragedi," katanya. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!