Kayveas sah rebut Parlimen Cameron Highlands

Kayveas bercakap pada media di sidang media di Wisma MyPPP hari ini. - Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
Kayveas bercakap pada media di sidang media di Wisma MyPPP hari ini. - Foto: Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas mengumumkan dirinya akan berentap dalam PRK Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini.

Kayveas bagaimanapun hanya meletakan harapan 50/50 untuk memenangi kerusi Parlimen tersebut, memandangkan MyPPP kini hanya berfungsi sebagai kuasa politik ketiga selepas PH dan BN.

“Pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) MyPPP hari ini, telah sebulat suara menamakan saya sebagai calon MyPPP untuk merebut kerusi Parlimen di Cameron Highlands.

“MyPPP kini bebas daripada cengkaman ‘abang besar’ BN, jadi keputusan untuk bertanding di Cameron Highlands kali ini hasil sepakat MyPPP tanpa perlu menunggu lampu hijau daripada BN lagi. MyPPP kini bebas dan bergerak sendiri,” katanya ketika sidang media di Wisma MyPPP di Kampong Attap, di sini, hari ini.

Katanya MyPPP akan bergerak sebagai parti untuk pelbagai kaum dan akan memperjuangkan isu lokal di tanah tinggi tersebut misalnya isu buruh, hak milik tanah,penggondolan bukit, alam sekitar dan aliran trafik terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti.

Kayveas sebelum ini pernah mencuba nasib bertanding di Cameron Highlands pada PRU14 lalu, bagaimanapun terpaksa mengalah atas semangat pucuk pimpinan dengan memberi laluan kepada MIC, salah satu komponen BN.

Menurut beliau, PRK Cameron Highlands ini satu situasi yang unik kerana ada 222 Parlimen dan Cameron Highland salah satu kerusi yang mengadakan pilihan raya semula.

“Ini merupakan kerusi Parlimen yang sama, kami sudah minta dan kerja keras sebelum ini tapi BN langsung tidak beri peluang.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kami tidak akan lepaskan peluang ini untuk bertanding,” ujarnya.

Buat masa ini, Kayveas berkata, MyPPP belum membuat keputusan berkenaan penggunaan lambang dalam PRK dan hanya akan diumumkan pada 12 Januari nanti ketika hari penamaan calon.

Sementara itu, ditanya mengenai pertikaiannya dengan Datuk Seri Maglin D’Cruz yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai Presiden MyPPP yang baharu.

Kayveas berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan beliau masih presiden parti itu yang sah.

“Dalam Perlembagaan MyPPP, kamu tidak boleh singkirkan Presiden kecuali melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Luar Biasa (EGM). Malah saya sendiri pun tak boleh letak jawatan.

“Sebelum ini, ROS minta saya selesaikan sendiri dengan Maglin. Saya bertemu dengan beliau tiga kali, tapi beliau enggan selesaikannya,” ujarnya.

Jumaat lalu, DAP mengumumkan M Manogaran sekali lagi diberikan mandat untuk menjadi calon pada PRK kali ini mewakili PH.

Pada 4 Jun tahun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU14, 9 Mei 2018 bagi kerusi Cameron Highlands yang dimenangi Datuk C Sivarrajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Susulan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengumumkan kemenangan Sivarrajh dalam pilihan raya tersebut terbatal setelah didapati wujud unsur rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!