Kanser payudara pembunuh kedua terbesar

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama penduduk yang hadir jalani pemeriksaan kesihatan pada Program Mamogram Percuma Etiqa Fasa 3 di Bangunan NCSM, di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama penduduk yang hadir jalani pemeriksaan kesihatan pada Program Mamogram Percuma Etiqa Fasa 3 di Bangunan NCSM, di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kanser payudara menjadi pembunuh kedua terbesar selepas kanser paru-paru berikutan sebanyak 43 peratus dalam kalangan wanita dikesan menghidap barah tersebut pada tahap lewat iaitu pada peringkat tiga dan empat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, adalah mustahak bagi wanita melakukan pemeriksaan di peringkat awal.

Menurutnya, kerajaan juga menyeru semua pihak termasuk swasta dapat menggembleng tenaga dalam usaha merawat serta mencegah kanser payudara.

"Hasil kajian NCSM (Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia) terbaharu mendedahkan secara purata sebanyak 31.1 kes atau insiden dilaporkan untuk setiap 100,000 penduduk di negara ini. Jadi kita perlu bertindak segera.

"Pengesanan awal ujian mamogram perlu dilakukan wanita kerana sekiranya dikesan, rawatan dapat diberikan dan potensi sembuh itu tinggi berbanding hanya dikesan setelah tahap tiga atau empat, keupayaan pulih rendah.

"Pencegahan kanser payudara ini juga tidak harus bersandarkan pada kerajaan sahaja sebaliknya diharapkan penglibatan serta sokongan semua pihak termasuk sektor korporat dan NGO (badan bukan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Mamogram Percuma Etiqa Fasa Tiga di Bangunan NCSM di sini hari ini.

Turut hadir Presiden NCSM, Dr Saunthari Somasundram dan Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad, Datuk R Karunakaran.

Artikel Berkaitan:

Dzulkefly berkata, program kerjasama di antara Etiqa dan NCSM untuk memelihara kesihatan wanita di Malaysia itu memberikan manfaat kepada 6,000 wanita B40 dengan melibatkan kos sebanyak RM2juta.

"Program fasa tiga ini kesinambungan bagi dua fasa dijalankan sebelum ini oleh kedua-dua pihak bermula tahun 2017 lalu dengan kos berjumlah RM4.52 juta yang telah membolehkan 11,000 wanita berusia 40 tahun ke atas mendapat manfaat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM216.9 juta di bawah Bajet 2020 bagi tujuan rawatan kanser atau onkologi.

Sementara itu, Karunakaran ketika menyampaikan ucapan berkata, beliau yakin program dengan kerjasama NCSM akan terus beri impak kepada masyarakat dengan wujudkan kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan kanser payudara dalam kalangan wanita kurang berkemampuan.

Katanya, ramai wanita di Malaysia berdepan dengan kematian akibat kanser payudara berbanding negara lain meskipun mempunyai risiko yang rendah dengan skala satu dalam 30 dalam hidup mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!