Keganasan rumah tangga, jenayah seksual tinggi di Kelantan
KOTA BHARU - Kes keganasan rumah tangga dan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di Kelantan amat membimbangkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, statistik Januari hingga Oktober menunjukkan peningkatan yang mana pada tahun ini terdapat 594 kes berbanding 575 bagi 2018 untuk tempoh sama.
Menurutnya, pada tahun ini bagi jenayah seksual pula, kes rogol menunjukkan angka paling tinggi iaitu 54 diikuti cabul kehormatan (33), isyarat lucah (6) dan liwat serta mengedar gambar lucah masing-masing empat kes.
“Pada tahun ini juga kes keganasan rumah tangga meningkat kepada 449 berbanding 433 kes pada tahun lepas untuk tempoh Januari hingga Oktober,” katanya kepada media hari ini.
Beliau ditemui sempena Larian Oren 'Gojes Orange Fun' di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan dan hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan, Tia Ifzan Idrus.
Hasanuddin berkata, pada tahun ini laporan seksual terhadap kanak-kanak mencatatkan 32 kes, buang bayi (5) dan penderaan kanak-kanak (7) kes.
“Angka ini agak banyak. Pada saya program yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita ini sangat bertepatan dengan apa yang berlaku di Kelantan.
“Pada saya salah satu sebab kes sebegini berlaku ialah kerana panas baran dan tidak sabar.
“Bagi kes sumbang mahram pula dikaitkan dengan tahap keimanan seseorang,” katanya.
Larian sejauh tiga kilometer berkenaan disertai 800 peserta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!