Kerajaan teliti cadangan guna kerusi keselamatan kanak-kanak terpakai
IPOH - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti cadangan projek untuk mengguna kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) terpakai.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, projek yang masih dalam pertimbangan itu bertujuan bagi membantu meringankan beban keluarga yang memiliki anak yang ramai atau kurang berkemampuan untuk memilikinya.
“Kementerian sedang lihat bagaimana untuk recycle car seat lama kerana ramai keluarga yang sudah beli tetapi sekarang anak mereka sudah besar, kerusi keselamatan itu ada dalam rumah.
“Jadi kita sedang meneliti cadangan projek tersebut dan bila ada maklumat kita akan umumkan bagi membantu mereka yang tidak mampu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan melihat jangka panjang bagi kes-kes yang melibatkan keluarga yang memiliki anak yang ramai.
“Sekarang ini CSR boleh didapati dalam talian antara RM100-150. Selain itu, kita meminta syarikat dan pengilang CRS membantu kerana yang penting adalah keselamatan kanak-kanak.
“Sekiranya tidak diimplementasikan polisi ini, yang menjadi mangsa kemalangan adalah anak-anak. Polisi ini bukan menyusahkan tetapi untuk melindungi mereka,” katanya.
Terdahulu, penubuhan Anjung Kasih YKN itu menjadi tempat penginapan sementara kepada ahli keluarga pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan.
Hannah Yeoh berkata, projek Anjung Kasih telah memberi manfaat kepada 70,865 penghuni di 11 hospital seluruh negara.
“Sebuah lagi bangunan Anjung Kasih siap dibina adalah di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
“Tiga buah lagi di Hospital Melaka; Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, Johor sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!