Kayveas bukan ancaman besar

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - MIC Pahang tiada masalah dengan keputusan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas yang menawarkan diri untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands yang dijadualkan 26 Januari ini.

Presidennya, V Arumugam berkata, beliau melihat pemimpin itu bukan ancaman besar kepada BN khususnya MIC dalam persaingan pada PRK itu nanti.

Menurutnya, siapapun yang berkelayakan berhak bertanding termasuk Kayveas.

"Biarlah dia bertanding untuk mencuba nasib dan terpulang kepada pengundi sama ada akan menyokong beliau atau sebaliknya.

"Dulu selepas gagal bertanding untuk kerusi itu, dia terus tinggalkan kawasan. Sekarang dia nak bertanding pula, jadi biarlah dia bertanding," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arumugam berkata, pihaknya sudah mula bekerja dan turun padang sejak seminggu lalu di Cameron Highlands.

"Pengundi tahu dan lihat perkhidmatan kami untuk rakyat selama ini, jadi BN dah bersedia untuk PRK tersebut," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh turut senada berhubung keputusan Kayveas itu.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebuah negara demokrasi, Kayveas berhak dan tiada masalah jika ingin bertanding pada PRK itu.

"Lagipun MyPPP dah keluar dari BN, jadi terserah kepada keputusan beliau dan ahli-ahli parti itu.

"Saya pun tidak pasti asas sokongannya di sana (Cameron Highlands) tapi kita juga akan membuat simulasi sekali lagi untuk mengenal pasti kecenderungan pengundi khususnya masyarakat India," katanya.

Kayveas mengumumkan untuk menawarkan diri selepas keputusan sebulat suara pada mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP hari ini yang bersetuju meletakkan calon pada PRK itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!