Kajian laporan vape dibentang tahun depan
KUALA LUMPUR - Hasil dapatan kajian laporan berhubung penggunaan vape atau rokok elektronik akan dibentangkan selewat- lewatnya pada suku pertama tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, satu jawatankuasa khas pakar diketuai Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chai yang dianggotai pelbagai pakar berkaitan bidang rokok elektronik kini dalam proses akhir menyiapkan laporan mengenainya.
"Kajian laporan sudah hampir ke hujung (proses akhir) dan dalam satu mesyuarat pasca Kabinet yang lalu, saya diberitahu mereka akan bentangkan dalam masa terdekat ini selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.
"Setelah laporan itu dibentangkan kepada saya nanti dalam waktu terdekat saya akan buat pengumuman tentang perkara ini. Kajian sudah sampai ke hujung sekarang, sikit lagi," katanya kepada media di sini hari ini.
Katanya, perkara itu perlu diperhati secara teliti dan mendalam membabitkan segala insiden mortaliti, mobiliti dan kematian yang didakwa dalam literasi segala penyakit paru-paru yang diakibatkan daripada penggunaan vape daripada vaping Associated Lung Injury (e-Vali) iaitu istilah baharu yang dikemukakan.
"Kita akan bincang dan bentangkan hasil dapatan laporan itu dalam mesyuarat PostCab (pasca Kabinet) kementerian nanti dan seterusnya akan dapat saya berikan kepada rakan- rakan media nanti," katanya
Terdahulu, beliau melancarkan Program Mamogram Percuma Etiqa Fasa Tiga di Bangunan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di sini.
Hadir sama, Presiden NCSM, Dr Saunthari Somasundram dan Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad, Datuk R Karunakaran.
Sementara itu, menurutnya, KKM akan mengenakan penalti berbentuk kompaun mulai Januari 2020 selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan larangan merokok tamat 31 Disember nanti.
“Kita bukannya denda RM10,000 seperti yang diperkatakan di luar sana sebaliknya hanya bermula dengan RM250 dan jika perokok bayar awal jumlah bayaran akan dikurangkan kepada RM150.
"Kita bersikap mesra pelanggan dalam penguatkuasaan kepada perokok yang ingkar arahan larangan merokok, lagipun kita bukan hendak menghukum mereka.
"Saya bukan musuh perokok, ramai kawan-kawan saya merokok juga cuma kita hendak biarkan kumpulan perokok ini faham apabila mahu merokok jangan dedahkan asap rokok secara basi kepada kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas di tempat makan awam,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, lebih 20,000 rakyat di negara ini meninggal dunia membabitkan asap rokok dan angka besar itu mendorong kementeriannya untuk mengambil tindakan yang tegas berhubung perkara berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!