'Rembat' beg telekung ketika jemaah solat

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 26 November ini. - Foto ihsan PDRM
Kedua-dua suspek kini direman sehingga 26 November ini. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Tidak sampai 24 jam selepas mencuri beg ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh di sebuah surau di sini, dua remaja lelaki berjaya diberkas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman awal pagi tadi.

Kejayaan itu hasil kepantasan risikan yang dibuat anggota Balai Polis Chukai seterusnya membawa kepada penahanan kedua-dua suspek di Binjai dan Batu 14 Jalan Air Putih.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek dipercayai mencuri beg telekung jemaah Surau Assolihin, Taman Desa Solehah ketika jemaah sedang solat Subuh semalam.

“Kehilangan beg telekung itu hanya disedari kira-kira jam 5.59 pagi semasa mangsa selesai solat dan kemudiannya bertindak memaklumkan kepada jawatankuasa surau berkenaan.

“Beg telekung solat itu mengandungi wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM20 dan hasil pemeriksaan CCTV (kamera litar tertutup), mereka dapati dua lelaki tidak dikenali telah memasuki kawasan solat Muslimah dan mengambil tiga beg milik jemaah di dalam surau,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, laporan polis kemudiannya dibuat semalam pada jam 8.21 pagi sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.

Polis kemudiannya membuat serbuan dan menahan suspek pertama berusia 15 tahun pada jam 2.50 pagi tadi di Binjai manakala suspek kedua berusia 18 tahun ditahan pada jam 3.40 pagi di sebuah rumah di Batu 14 Jalan Air Putih.

Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan kedua-dua suspek telah mengaku melakukan kecurian di surau tersebut dan telah melakukan beberapa jenayah pecah rumah di sekitar Kemaman.

Artikel Berkaitan:

“Hasil ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine. Mereka kini direman sehingga 26 November ini untuk siasatan lanjut.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!