Helikopter hantar 5,100kg makanan untuk orang asli

Bantuan makanan dihantar menerusi sembilan penerbangan oleh Unit Udara JBPM menggunakan helikopter Agusta Westland AW189.
Bantuan makanan dihantar menerusi sembilan penerbangan oleh Unit Udara JBPM menggunakan helikopter Agusta Westland AW189.
A
A
A

GUA MUSANG - Sebanyak 5,100 kilogram (kg) makanan harian seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan biskut diagihkan menggunakan helikopter di enam pos pedalaman orang asli di daerah ini.

Bantuan makanan itu dihantar menerusi sembilan penerbangan oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter Agusta Westland AW189.

Penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli berkata, penerbangan yang bermula pada jam 11.14 pagi itu ditamatkan pada jam 5.30 petang apabila cuaca tidak mengizinkan.

Menurutnya, antara pos pedalaman yang terlibat adalah Pos Gob, Pos Pasik, Pos Balar, Pos Simpor, Pos Belatim dan Pos Bihai.

"Bantuan ini disalurkan kepada 982 ketua isi rumah (KIR) di enam pos pedalaman. Selain bantuan makanan harian, sebanyak 3,724 botol air mineral turut diagihkan.

"Kita menghantar 500kg makanan ke Pos Simpor, Pos Gob (600kg), Pos Pasik (975kg), Pos Belatim (430kg), Pos Bihai (1,670 kg) dan Pos Balar (925kg).

"Bagaimanapun, dua lagi penerbangan ke Pos Balar dan Pos Bihai terpaksa disambung esok kerana cuaca hujan di sebelah petang. Operasi ini akan bersambung esok pagi bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Terdahulu, beberapa pos pedalaman orang asli di sini dilaporkan terputus bekalan makanan akibat daripada kerosakan jalan perhubungan dan serangan gajah liar terhadap ladang dan tanaman mereka.

Artikel Berkaitan:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy berkata, masyarakat orang asli yang terlibat akan menerima bantuan kecemasan dalam bentuk keperluan makanan dan bantuan memulihkan jaringan perhubungan jalan.

Bantuan ini disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan bantuan pelbagai agensi yang terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!