Ribut jejas 10 rumah, 3 keluarga ditempatkan pusat pemindahan
GUNONG SEMANGGOL - Kejadian ribut luar biasa menyebabkan 10 rumah di Kampung Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah, di sini terjejas petang tadi.
Fenomena bencana diselangi hujan lebat luar biasa itu turut mengakibatkan tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa bencana di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung PPMS Bukit Merah, malam ini kerana tempat tinggal mereka terjejas teruk dan tidak selamat didiami.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Merah, Noordin Omar berkata, kejadian berlaku pada jam 5 petang dan sekurang-kurangnya enam rumah di Kampung PPMS Bukit Merah terjejas teruk di beberapa bahagian rumah terutama bumbung.
Menurutnya, sejumlah empat lagi rumah di kampung sama turut dilanda ribut mengalami kerosakan kecil, manakala sebuah tadika, taska Permata dan satu lot gerai seliaan Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Kerian turut terjejas.
"Di sebalik bencana menimpa, pihak kami bersyukur tiada sebarang kecederaan atau kemalangan melibatkan penduduk meskipun majoriti mereka berada di rumah sewaktu kejadian berlaku.
"Cuma kita mengenal pasti tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa bencana di DOR Kampung PPMS Bukit Merah buat sementara kerana kondisi rumah mereka kini tidak selamat diduduki,"katanya kepada media di sini hari ini.
Noordin berkata, kesemua keluarga melibatkan lebih 10 mangsa dipindahkan bakal menerima bantuan kecemasan oleh Penyelaras Dun Gunong Semanggol, Ismail Ali di samping bantuan rutin kebajikan disalurkan pelbagai agensi kerajaan.
Menurutnya, pihaknya juga masih mengenal pasti jumlah keseluruhan ditanggung kesemua mangsa ribut.
"Cuma, pihak kami mungkin akan meminta bekalan elektrik diputuskan di beberapa rumah terlibat ribut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini pada penghuninya.
"Kami turut memohon jasa baik kerajaan negeri memberi bantuan sewajarnya kepada kesemua keluarga mangsa ribut kerana rata-rata mereka merupakan keluarga berpendapatan rendah,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!