Ke arah peguam Muslim cemerlang

A
A
A

UMUM mengetahui dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam ialah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes itu.

Sebenarnya peranan peguam tidak hanya terhad di mahkamah kerana peguam ialah profesion amat dihormati masyarakat.

Saranan dan nasihat seorang peguam biasanya diambil kira dalam membuat keputusan di dalam dan luar mahkamah. Apatah lagi sekiranya ia membabitkan hal ehwal perundangan.

Umumnya, profesion peguam berpaksikan minat, kesungguhan dan kecintaan terhadap bidang guaman itu sendiri.

Seseorang peguam berusaha memiliki kualiti seperti integriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai matlamat utama.

Antara ciri perlu ada pada peguam ialah: Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.

Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam.

Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.

Artikel Berkaitan:

Sikap itu menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

Seseorang peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman.

Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Bersikap baik dan mengambil berat. Seorang peguam yang mengambil berat profesion itu akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja tetapi seluruh manusia yang digaulinya.

Contoh kebaikan

Peguam juga mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasan serta menghormati kepercayaan diberikan.

Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya.

Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan.

Bersungguh dan tekun. Seseorang peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia membantu peguam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.

Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.

Matlamat utama prosiding di mahkamah ialah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh adil seperti diperuntukkan hukum syarak.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.

Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu kita perlu merujuk sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan al-sunnah.

Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

Sekiranya peguam memberikan hak kepada orang yang tidak berhak, seolah-olah peguam tersebut memberikan sepotong api neraka kepada mereka.

Ketika ini, peguam di Semenanjung Malaysia berada dalam tempoh memilih Ahli Majlis Peguam. Saya sarankan para peguam dapatlah memilih calon yang menyatukan Badan Peguam Malaysia, menjaga kebajikan serta memimpin badan peguam itu menjadi inklusif kepada semua.

Pilihlah mereka yang benar-benar merasai denyut nadi dan perjuangan para peguam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!