Shafie dijangka bertemu pemimpin selatan Filipina
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dari selatan Filipina yang dijadual melawat Kota Kinabalu minggu depan.
Mohd Shafie berkata beberapa isu penting termasuk berkaitan aspek keselamatan khususnya di pantai timur Sabah akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti, sekali gus akan dapat memperkukuh lagi kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata difahamkan kumpulan itu berhasrat menemui beliau untuk berbincang mengenai pelbagai perkara, mungkin juga termasuk keadaan di selatan negara itu, bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara khusus identiti pemimpin berkenaan.
"Saya telah minta supaya perkara (pertemuan) ini dapat dilihat sebagai satu pendekatan untuk kita berusaha dan bekerjasama sebaik mungkin dalam membanteras kegiatan tidak diingini berlaku khususnya di pantai timur Sabah, kerana aspek keselamatan itu sangat penting.
"... bukan hanya bagi menjaga nyawa manusia tetapi juga memastikan sektor pelancongan dapat disuburkan dan ditingkatkan di kawasan itu,” kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Parti Warisan Sabah (Warisan) di sini, hari ini.
Sementara itu Mohd Shafie mengingatkan penduduk Sabah untuk terus memperkukuh perpaduan dengan menolak sifat ekstrimisme dan perkauman tebal yang mampu menjejaskan keharmonian serta kesatuan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
"Jangan ada sifat pelampau dan sifat perkauman yang tebal dalam diri kerana ia hanya akan menjejaskan usaha ke arah memperkukuh lagi perpaduan rakyat. Jangan ada sifat pelampau dalam beragama. Kita perlu berpegang dengan keyakinan dan juga kepercayaan masing-masing," katanya.
Terdahulu ketika berucap, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, 2019 adalah tahun untuk pemimpin serta ahli parti itu bekerja lebih keras bagi memenuhi harapan rakyat seterusnya membawa pembangunan Sabah ke tahap lebih tinggi.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!