'Gambar itu dirakam 12 jam sebelum ibu pergi jauh'
GOMBAK - Hasrat seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mengabadikan momen indah bersama ibu ketika majlis konvokesyen tidak kesampaian apabila ibunya meninggal dunia tiga hari sebelum majlis.
Khatijah Nur Ain Azman berkongsi kisah duka itu di Facebook miliknya berserta foto ciuman terakhirnya buat ibunya ketika di hospital.
Coretnya, gambar itu dirakam 12 jam sebelum ibunya 'pergi jauh'.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dikatakan bakal menerima skrol ijazah pada hari esok (Ahad).
Ketika ini, ALLAH sedang mengujinya dengan perkara yang paling ditakuti berlaku iaitu kehilangan.
"Orang kata ALLAH akan uji kita dengan benda yang paling kita takut. Kehilangan, walau dalam bentuk apa pun dan bagaimanapun cara ia mendatangi kita, tetap saja menyakitkan.
"Dan kali ini saya kehilangan seorang ibu, tiga hari sebelum majlis graduasi, hari untuk ibu bapa, hari di mana semua anak-anak nak mak ayah datang tengok anak naik pentas terima ijazah.
"Lima tahun setengah belajar dekat UIA, dari asasi sampai ijazah, kadang sampai penat nak jawab bila orang tanya dah habis belajar ke belum (belajar dekat UIA memang lama, sebab UIA bukan ajar ilmu duniawi semata walaupun bukan kos agama)," luahnya.
Bercerita lanjut, ibunya antara individu yang sangat teruja untuk melihat dirinya ketika di majlis konvokesyen.
"Mak yang paling 'excited' untuk Ahad ni. Tapi Ahad ni mak yang tak ada, mak sebenarnya dah tahu kan mak tak dapat datang sebab tu mak cakap dekat adik yang mak tak nak belikan kakak bunga untuk konvo, tapi mak nak bagi rantai dengan cincin, salah satu rantai tu rantai yang mak selalu pakai," katanya.
Meskipun pemergian ibunya sukar ditelan namun Khatijah atau lebih mesra dipanggil Ijah reda apa yang berlaku.
"ALLAH akan sediakan tempat terbaik untuk mak dekat sana nanti. Ijah reda. Moga syurga tertinggi untuk mak.
"Terima kasih ALLAH izinkan mak tengok anak dia sarung jubah konvo walaupun mata mak tertutup rapat, harap-harap roh mak nampak, harap-harap mak pergi tanpa rasa terkilan.
"Terima kasih ALLAH izinkan jantung mak berdegup kembali, bagi mak masa, walaupun doktor cakap masa ambulans sampai rumah nadi mak sebenarnya dah tak ada.
"Terima kasih ALLAH rezekikan kami jumpa mak buat kali terakhir, sempatkan mak 'jumpa' semua anak-anak sebelum mak pergi. Terima kasih izinkan untuk ajar mak mengucap sebelum jantung mak berhenti. Terima kasih ALLAH permudahkan urusan terakhir mak atas dunia. Ramai jemaah solat kan jenazah mak," katanya.
Perkongsian meruntun jiwa membuatkan netizen terus memberi kata-kata semangat kepadanya agar terus tabah mengharungi dugaan walaupun sukar untuk menerimanya.
Kata Azman Ahmad, "Bersabar, pasrah, reda dan berdoalah anakku"
"Salam takziah buat awak, semoga awak kembali bangkit dengan semangat baru kelak. Insya-ALLAH," tulis Sara.
Menurut Fazz Yana, "Kehilangan ini cukup berat. Ambillah masa berapa lama yang awak perlukan. Stay strong. Mak dah tenang berehat di alam sana. Al-Fatihah."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!