Mati dalam trak: Mangsa larikan diri dari pusat perlindungan Belanda
THE HAGUE - Salah seorang daripada 39 migran warga Vietnam yang ditemukan mati dalam sebuah trak peti sejuk di Britain pada bulan lalu adalah kanak-kanak lelaki bawah umur yang dilaporkan hilang dari pusat perlindungan di wilayah Limburg, Belanda sebelum ini.
Akhbar Algemeen Dagblad hari ini melaporkan identiti dan umur mangsa bagaimanapun tidak dedahkan.
"Dia sanggup menggadai nyawa melarikan diri daripada pusat kemudahan yang selamat untuk mencari kehidupan bebas yang lebih berisiko," lapor akhbar itu memetik sumber pertubuhan kerajaan di Netherlands yang menguruskan isu pelarian.
Difahamkan, enam remaja rakyat Vietnam turut dilaporkan hilang pada Ogos lalu hingga menyebabkan usaha mencari mereka dilakukan secara besar-besaran termasuk menggunakan helikopter.
COA bagaimanapun enggan mengaitkan kehilangan mereka dengan migran yang ditemukan mati itu.
Dalam perkembangan lain, penyiasat Britain memaklumkan seorang lagi suspek berusia 23 tahun ditahan dari Ireland Utara selepas disyaki terlibat dalam komplot sindiket pemerdagangan manusia.
Sebelum ini, pemandu trak itu, Mo Robinson, 25, telah dihadapkan ke mahkamah manakala seorang lagi lelaki di Ireland Utara, Eamonn Harrison, 22, sedang berdepan proses ekstradisi.
Kesemua 39 mayat termasuk lapan wanita dijumpai dalam sebuah treler di kawasan perindustrian di timur London dan mangsa paling muda dikenal pasti sebagai Nguyen Huy Hung berusia 15 tahun.
Lori tersebut dipercayai tiba menaiki feri kargo dari pelabuhan Zeebrugge di Belgium.
Ratusan migran cuba memasuki UK pada setiap tahun melalui perjalanan tidak selamat selain terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!