Penduduk bimbang banjir kilat akibat aktiviti gondol hutan

Bukit yang telah digondolkan dipercayai menjadi punca kejadian banjir kilat di Kampung Dingkir, Inas baru-baru ini.
Bukit yang telah digondolkan dipercayai menjadi punca kejadian banjir kilat di Kampung Dingkir, Inas baru-baru ini.
A
A
A

KUALA PILAH – Penduduk Kampung Dingkir Inas dan berhampirannya melahirkan rasa bimbang apabila kerja-kerja penggondolan hutan dekat kampung itu di sini akan menyebabkan banjir kilat berulang.

Peniaga kedai runcit dan makanan, Norman Kassim, 49, berkata, kejadian banjir kilat pada 1 November lalu merupakan yang terburuk berlaku di kampung itu.

"Ketika kejadian, hujan lebat selama dua jam namun selepas reda, air berserta lumpur secara tiba-tiba naik mendadak memasuki kedai makan sehingga ke paras buku lali.

“Walau ia berskala kecil tetapi tetap menjadi tanda tanya kerana sebelum ini tidak pernah berlaku banjir walaupun hujan lebat melebihi dua jam,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi kariah Kampung Dingkir, Muhammad Azam Abas, 60, berkata, penggondolan hutan di Kampung Inas ini telah dilakukan lebih tiga tahun namun tidak dapat dipastikan tujuannya.

Beliau yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberitahu tidak pernah dimaklumkan secara terperinci tujuan penggondolan hutan itu malah tidak mengenali kontraktor yang terlibat.

“Dahulu, ada khabar angin mengatakan kesemua balak di bukit tersebut akan dikeluarkan dan diganti sama ada tanaman kelapa sawit atau getah.

"Terbaru, ada ura-ura mengatakan ia akan ditanam dengan durian musang king.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai penduduk kampung, kami tidak kisah pokok apa pun yang akan ditanam tetapi pihak berkenaan perlulah bertanggungjawab sepenuhnya tentang keselamatan dan keselesaan kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh ketika dihubungi Sinar Harian berkata, hutan tersebut merupakan Hutan Simpan Senaling Inas dan di bawah pentadbiran Pejabat Perhutanan.

"Lokasi tersebut telah dipajak oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan YNS telah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakan tanaman semula getah klon yang telah bermula sejak tahun 2018.

“Mereka juga telah melaksanakan segala langkah-langkah keselamatan seperti yang telah diarahkan antaranya membina saliran serta kolam takungan air," katanya.

Katanya, ketika kejadian hujan lebat baru-baru ini, telah menyebabkan dua dari tiga buah kolam takungan air pecah dan dipercayai menjadi punca kejadian banjir kilat.

“Syarikat terbabit telah berjanji akan mengambil tindakan segera agar kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!