Pengurus Johor Tigris, anak perempuan maut dalam nahas
MERSING - Pengurus pasukan Johor yang beraksi dalam Kejohanan Sepak Takraw League (STL) 2019 antara tiga yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing - Endau berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong di sini petang tadi.
Dalam nahas itu, mangsa, Abdul Manan Ahmad, 59, bersama anak perempuannya, Nur Ainil Jannah, 22, yang menaiki kereta jenis Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang hadapan kereta jenis Honda City dipercayai lelaki dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 petang.
Menurutnya, seramai 10 anggota dengan bantuan satu jentera dan satu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan adalah membabitkan dua kereta iaitu Toyota Vios dinaiki dua mangsa dan Honda City yang dinaiki enam orang.
“Kami percaya Toyota Vios dari Mersing menuju ke Endau manakala Honda City dari arah bertentangan sebelum bertembung,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd Alias berkata, lima penumpang lain dalam Honda City yang cedera dikeluarkan orang ramai.
Sementara, tiga lagi mangsa termasuk dua beranak itu masih berada dalam kenderaan dinaiki mereka.
“Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sebelum kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.
“Selain itu, mangsa yang tercedera pula dihantar ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 6.33 petang dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!