Boling Piala Dunia: Natasha kandas separuh akhir
PEMAIN boling negara, Natasha Roslan gagal dalam misi untuk memburu gelaran juara Kejohanan Boling Piala Dunia Boling di Pusat Boling, Palembang, Indonesia, selepas terkandas dalam saingan peringkat separuh akhir hari ini.
Pemain berusia 23 tahun yang mempamerkan persembahan cemerlang dalam pusingan awal kejohanan itu, kalah dengan 176 jatuhan pin berbanding 199 jatuhan pin yang dibuat oleh Rebecca Whiting dari Australia.
Whiting yang menduduki tempat ketiga dalam pusingan kelayakan, berjaya muncul juara kejohanan hari ini selepas menewaskan pemenang dua kali Aumi Guerra dari Republik Dominican Republic;172 berbanding 162 jatuhan pin di peringkat akhir.
Guerra sebelum itu mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan pemain veteran Amerika Syarikat Kelly Kulick, 194 berbanding 179 jatuhan pin dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Natasha yang kelihatan jelas kecewa ketika ditemui selepas pertandingan berkata beliau terkilan kerana gagal beraksi baik, sekurang-kurangnya untuk menyamai rekod beberapa pemain negara sebelum ini yang berjaya menduduki tempat kedua kejohanan itu.
Untuk rekod, ratu boling negara Shalin Zulkilfi sebelum ini pernah menduduki tempat kedua dalam kejohanan itu dalam penampilan pertama beliau di Belfast, Northern Ireland pada tahun 1996, yang kemudiannya disusuli dengan kejayaan Sin Li Jane mengikuti jejak langkahnya di Wroclaw, Poland (2014), dan di Las Vegas, Amerika Syarikat tahun lepas. manakala seorang lagi pemain boling negara Siti Safiyah turut berjaya meraih gelaran naib juara pada edisi 2017 di Hermosillo, Mexico.
"Sungguh mengecewakan, selepas membuat yang terbaik sejak lima hari lepas, dan segalanya musnah selepas tewas dalam satu perlawanan, namun inilah hakikat kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur.
“Saya agak gementar pada mulanya, saya sudah berusaha bersungguh-sungguh, namun sukar membuat ‘strike’. Saya juga ada masalah ibu jari, yang terluka semalam namun ia bukan alasan,” katanya.
Dalam kategori lelaki, Adrian Ang awal-awal lagi gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik selepas menamatkan saingan di tempat ke-14 dalam pusingan kelayakan semalam.
Syafiq Ridhwan Abdul Malek merupakan satu-satunya pemain boling negara yang berjaya memenangi gelaran juara lelaki pada edisi 2012 di Wroclaw, Poland sejak kejohanan itu bermula pada tahun 1965 di Dublin, Ireland.
Gelaran juara lelaki kejohanan tahun ini menjadi milik naib juara edisi 2015 Francois Louw dari Afrika Selatan, yang berjaya muncul sebagai juara kejohanan buat kali pertama selepas empat cubaan sebelum ini, dengan menewaskan pemain veteran dari Indonesia Ryan Lalisang dengan jatuhan pin 237 berbanding 202 dalam perlawanan akhir.
Terdahulu Louw menewaskan pemain Jerman Oliver Morig; 262-196, manakala Lalisang menewaskan penyandang juara Sam Cooley dari Australia; 239-158 dalam saingan peringkat separuh akhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!