Tunai zakat, kurangkan cukai pendapatan

Setiap apa yang dilakukan mestilah datang dari hati yang ikhlas.
Setiap apa yang dilakukan mestilah datang dari hati yang ikhlas.
A
A
A

ISLAM mengajar umatnya mengutamakan amalan-amalan hati berbanding amalan lahiriah. Ini kerana, amalan hati dilaksanakan ikhlas kerana ALLAH SWT. Pada kebiasaannya, amalan yang tidak ikhlas akan dicemari oleh perasaan dan sifat mazmumah dalam diri manusia. Sebagai contoh, apabila kita melakukan amalan bersedekah.

Benarkah sedekah yang kita lakukan itu adalah semata-mata kerana ALLAH SWT? Atau atas sebab-sebab yang lain? Contohnya perasaan bangga diri, riak serta mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain betapa pemurahnya kita dan betapa kayanya kita. Amalan yang bersifatkan lahiriah ini diistilahkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai perbuatan syirik kecil dan menyekutukan ALLAH SWT.

Pada hal mereka tidak diperintahkan menyembah ALLAH dengan ikhlas mentaatinya semata-mata kerana (menjalankan) agama, dan juga agar

melaksanakan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar). (Surah Al-Bayyinah, 98)

Contoh lain yang lebih jelas, apabila terdapat sebilangan besar golongan masyarakat hari ini mengeluarkan zakat lebih daripada kadaran yang sepatutnya. Adakah amalan sebegini benar-benar ikhlas kepada ALLAH SWT? Atau dalam sudut yang lain mereka hanya ingin melepaskan diri daripada membayar cukai pendapatan yang boleh ditolak daripada rebat zakat yang telah dibayar.

Hanya ALLAH SWT sahaja yang maha mengetahui sama ada niat dan perbuatan mereka ini betul-betul ikhlas atau sebaliknya. Amalan yang benar-benar ikhlas kita lakukan kerana ALLAH SWT merupakan ikatan kecintaan, dengan niat hati yang bersih.

Zakat adalah rukun Islam, cukai adalah tanggunghawab kepada pemerintah
Zakat adalah rukun Islam, cukai adalah tanggunghawab kepada pemerintah

Artikel Berkaitan:

Zakat VS cukai pendapatan

Apabila memperkatakan tentang zakat dan cukai pendapatan, kita tidak sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, Islam adalah agama rasmi negara. Masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang beranggapan mereka terpaksa membayar cukai dan zakat kerana ingin memenuhi tanggungjawab kepada agama dan negara. Zakat adalah Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh hamba-Nya yang memenuhi nisab dan syarak.

Cukai pendapatan pula adalah hak kerajaan yang perlu dilunaskan oleh rakyat yang tertakluk di dalam prinsip bernegara. Dana zakat digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam dan membantu orang fakir miskin untuk hidup sepertimana orang biasa. Manakala wang daripada cukai pendapatan digunakan untuk pembangunan negara seperti pembinaan infrastruktur dan lain-lain.

Cukai seperti yang ditakrifkan para ulama iaitu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ialah: 'Kewajipan (kewangan) yang dilazimkan kepada rakyat untuk membayarnya kepada pihak pemerintah (negara) mengikut kadar yang tertentu dengan melihat kepada keperluan dan manfaat yang bakal dilaksanakan oleh pihak pentadbiran negara bagi memenuhi keperluan umum rakyat di dalam sebuah negara dan bagi merealisasikan sebahagian dari perancangan dan penstrukturan ekonomi, kemasyarakatan, politik dan pentadbiran dan lain-lain tujuan demi kemaslahatan umum yang menjadi agenda sesebuah negara.' (Fiqh Al-Zakah, Jilid 2 m/s 997).

Namun, zakat adalah kewajipan secara khusus dalam agama yang bermaksud sesuatu hak yang tertentu berdasarkan kadar tertentu dalam harta umat Islam yang ditunaikan kepada golongan tertentu dengan syarat yang tertentu, bertujuan untuk mensyukuri nikmat ALLAH SWT serta taqarrub (hampiri diri) kepadanya dalam erti menyucikan jiwa dan harta.

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP), Seksyen 6A (3), memberi keistimewaan kepada orang-orang Islam iaitu: 'Rebat hendaklah diberikan pada tahun tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarnya wajib dan yang sudah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang undang bertulis’.

Penerangan jelas berkaitan perbezaan zakat dan cukai pendapatan.
Penerangan jelas berkaitan perbezaan zakat dan cukai pendapatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail, rebat ialah jumlah cukai yang dikurangkan melalui bayaran zakat. Semakin tinggi jumlah zakat, maka semakin sedikitlah potongan cukai. Sekiranya jumlah zakat menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya. Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak dinyatakan jumlah amaun tertentu atau batas amaun dalam rebat ke atas cukai.

Ini bermakna, selagi pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran wajib di sisi agama iaitu zakat, maka ia masih dikira sah untuk memperoleh rebat ke atas cukai berkenaan. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (iaitu tahun semasa). Ini bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2019, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa setiap mereka yang membayar zakat boleh dikecualikan sepenuhnya atau sebahagian daripada membayar cukai pendapatan, namun untuk mendapatkan pengecualian tersebut, ada perkara yang perlu dibuktikan:

  1. Pembayaran perlu dibuktikan dengan resit yang dikeluarkan oleh pihak yang diberi kuasa untuk memungut zakat.
  2. (ii) Zakat haruslah dibayar kepada amil-amil yang diiktiraf dan dilantik oleh pemerintah. Perlu diingatkan juga, para pembayar cukai haruslah peka ke mana wang zakat itu dibayar kerana pihak LHDN hanya mengambil kira amil zakat bertauliah yang telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Pihak LHDN tidak akan melayan sebarang tuntutan rebat yang dibayar kepada amil-amil zakat yang tidak bertauliah, serta pengagihan zakat yang dilakukan secara persendirian.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Zakat Melaka di talian yang tertera.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Zakat Melaka di talian yang tertera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!