Banyak peluang pekerjaan punca Cyberjaya jadi pilihan

Laporan Sinar Harian semalam berkaitan scammer warganegara China di Cyberjaya.
Laporan Sinar Harian semalam berkaitan scammer warganegara China di Cyberjaya.
A
A
A

SHAH ALAM - Faktor peluang pekerjaan yang banyak ditawarkan di Cyberjaya menjadikannya antara lokasi tumpuan utama untuk warga asing membina kerjaya termasuk melakukan 'kerja haram' di negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amirah Ismail berkata, susulan itu, sebahagian warga asing dari pelbagai negara ini juga dilihat memilih untuk menetap dan bekerja di Cyberjaya.

Beliau berkata, ada sebahagian warga asing dilihat mampu membuka kedai-kedai mereka sendiri di situ.

"Dengan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan ini akhirnya ia mewujudkan lambakan golongan tersebut di Cyberjaya.

"Maka akan timbul pula kumpulan yang menjalankan kegiatan haram atau jenayah seperti penipuan atau sindiket tertentu," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seramai 680 warga China termasuk 77 wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan oleh Jabatan Imigresen pada Rabu lalu kerana terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi di bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Sindiket terbabit dikesan beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menjadikan bangunan yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan, pengawal keselamatan termasuk kamera litar tertutup (CCTV) itu sebagai pusat panggilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cyberjaya ibarat 'Chinatown'

Artikel Berkaitan:

Pejabat 'scammer' warga China berbau busuk

Dalam pada itu, Amirah juga tidak menafikan faktor kedudukan strategik Cyberjaya yang mempunyai akses internet yang baik juga menjadi bonus tambahan untuk golongan warga asing ini menjalankan aktiviti haram mereka.

"Scammer ini sebenarnya boleh beroperasi di mana-mana saja dengan syarat ada tempat untuk beroperasi serta dapat bantuan dalang atau rakyat tempatan yang mungkin pemilik premis dan sanggup sewakan premis mereka," katanya.

Dalam pada itu, Amirah berkata, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan perlu lebih kerap membuat pemantauan dan juga memeriksa premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti tidak sihat hasil aduan orang ramai.

"Pihak penguat kuasa perlu kerap jalankan pemeriksaan, sekatan jalan raya kerana penguatkuasaan serta kawalan keselamatan khususnya dilihat masih longgar.

"Bagaimanapun tangkapan yang baru saja dilakukan minggu ini ke atas sindiket warga China itu boleh dianggap sebagai tanda amaran kepada pelaku-pelaku atau scammer ini agar tidak sewenang-wenangnya menyalah guna pas sosial/pelancong ke Malaysia dengan menjalankan aktiviti tidak sihat serta merbahaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!