Lafaz cinta 37,000 kaki di udara
WELLINGTON - Seorang wanita dari New Zealand dan pasangannya dari Australia merealisasikan rasa cinta antara satu sama lain termasuk terhadap dunia penerbangan dengan melangsungkan perkahwinan 37,000 kaki di udara.
Cathy Valliant dan David Valliant secara rasminya melafazkan 'saya terima' dalam sebuah pesawat komersial Jetstar 201 ketika dalam perjalanan dari Sydney ke Auckland.
Ketika pesawat itu terbang di titik tengah antara dua negara asal mereka, pasangan itu berkahwin di hadapan anak kapal.
"Ia adalah pengalaman paling menakjubkan yang bakal diingati sepanjang hidup kami," kata Cathy.
Pasangan terbabit bertemu secara dalam talian pada 2011 ketika bermain permainan komputer Airport City dan bertemu buat pertama kalinya di lapangan terbang Sydney dua tahun kemudian.
"Cinta terhadap penerbangan menemukan dan menyatukan kami," kata pengantin perempuan itu lagi.
Cathy berkata, dia ingin melakukan sesuatu yang benar-benar tidak dapat dilupakan untuk perkahwinan mereka dan menyatakan ideanya itu di Facebook Jetstar.
"Kami mahu ia melambangkan cinta kami terhadap penerbangan, Australia dan New Zealand serta cinta sesama kami. Saya fikir mungkin boleh mencuba nasib dengan Jetstar," katanya.
Syarikat penerbangan tersebut bersetuju dan membuat persediaan untuk perkahwinan impian pasangan itu di udara.
"Ia adalah majlis istimewa dan pertama kali saya mengendalikan perkahwinan di udara.
"Menjadi sebahagian daripada Cathy dan David serta hari bahagia mereka tidak dapat dilupakan," jelas anak kapal, Robyn Holt. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!