Berpantang di pusat pemindahan
CHUKAI - Seorang kanak-kanak yang baru sahaja berkhatan pagi kelmarin terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Darul Iman Training Center (DITC) berikutan jalan utama ke rumahnya dinaiki air banjir.
Muhammad Naufal Syukani Khairi Sabli, 10, yang menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, mula tinggal di PPS tersebut bersama lima lagi ahli keluarganya sejak malam kelmarin.
“Walaupun terpaksa berpantang di PPS tetapi saya seolah-olah berpantang di rumah sendiri sebab ibu saya, Normala Ramli masih berpeluang sediakan nasi bersama ikan bakar dengan bantuan ramai pihak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, meskipun pergerakannya terbatas, namun dia berasa cukup gembira dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, hanya satu daripada empat PPS yang masih beroperasi di daerah Kemaman melibatkan 196 orang daripada 48 keluarga di PPS DITC Teluk Kalong.
“Kemungkinan kesemua mangsa ini dapat kembali ke rumah masing-masing dalam masa terdekat kerana keadaan cuaca hujan renyai-renyai sahaja sejak awal pagi tadi (semalam) dan setakat ini paras sungai kembali normal,” katanya.
Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu sudah pulih sepenuhnya apabila DITC di Teluk Kalong, Kemaman menjadi PPS terakhir ditutup operasinya pada jam 5.30 petang semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!