Tak lepas seludup 50kg daging babi
RANTAU PANJANG - Seorang lelaki gagal menyeludup 50kg daging babi ke negeri ini selepas ditahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini semalam.
Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu dilakukan pihaknya selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Unser ketika melalui sekatan di ICQS Rantau Panjang.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan 50kg daging babi dari negara jiran dianggarkan bernilai RM1,000. Pemandu kenderaan itu ditahan untuk siasatan lanjut.
"Tindakan mengimport produk haiwan tanpa permit import dan melanggar syarat import itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.
Menurutnya, arahan larangan import produk babi dikeluarkan kerajaan bagi mengelakkan penyebaran wabak demam babi Afrika (ASF) dari pelbagai negara terutamanya dari China, Poland, Belgium, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Laos, Korea, Filipina dan Thailand.
"Produk ini cuba dibawa masuk walaupun larangan telah dikeluarkan kerajaan. Maqis Kelantan komited menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kemasukan daging atau produk babi yang tidak mematuhi prosedur pengimportan masuk ke dalam negara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!