Selamatkan khazanah negara kita!
KUALA LUMPUR - Polis hari ini berkongsi kesedihan dengan berita kematian Iman, badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia yang menderita penyakit kronik sejak lima tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook PDRM, walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, namun Iman tidak dapat diselamatkan.
"Malaysia bukan sahaja kehilangan khazanah berharga itu, malah bakal menyusul lebih banyak lagi haiwan terancam seperti Harimau Malaya, gajah Borneo, tenggiling dan tenuk Malaysia akibat perbuatan rakus manusia durjana.
"Kulit, taring, gading malah organ haiwan-haiwan tersebut diburu dek gelap mata dengan habuan wang yang lumayan," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut setiap kewujudan haiwan memberi 1,001 manfaat kepada ekosistem.
"Ayuh rakyat Malaysia! Selamatkan khazanah negara ini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pemburuan haram," kata pentadbir Facebook itu yang mewakili seluruh warga PDRM.
Justeru, polis mahu masyarakat melaporkan sebarang penjualan produk berasaskan haiwan terancam tersebut di mana-mana platform media sosial.
"Polis Diraja Malaysia mahu rakyat Malaysia bekerjasama membanteras sebarang pemburuan haram yang mengakibatkan kepupusan haiwan liar.
"Bersama kita pelihara harta yang sangat bernilai ini demi warisan buat anak cucu di masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!