Maradona ditawar latih skuad Tok Gajah?
PAHANG - Tular di media sosial kononnya legenda bola sepak dari Argentina, Diego Maradona ditawarkan kontrak oleh pihak pengurusan Pahang FA untuk menjadi jurulatih skuad Tok Gajah.
Dakwaan itu dikeluarkan oleh seorang wartawan sukan dari Mexico, César Luis Merlo menerusi akaun Instagram dan Twitter miliknya yang memberitahu bahawa Maradona ditawarkan kontrak bernilai jutaan ringgit bagi melatih pasukan Pahang selama enam bulan.
Bagaimanapun bekas jurulatih skuad kebangsaan Argentina itu dikatakan menolak tawaran tersebut kerana memilih untuk terus berada di Kelab Gimnasia De La Plata.
Perkongsian Luis Merlo di Twitternya menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia khususnya penyokong Tok Gajah yang teruja dan gembira jika perkara itu mampu menjadi kenyataan.
“Wow, terbaik lah Pahang FA kalau korang berjaya membawa masuk Maradona untuk melatih skuad Pahang. Walaupun mungkin ini hanyalah khabar angin namun kami penyokong skuad Tok Gajah sangat mengharapkan perkara ini menjadi kenyataan,” tulis Ahmad Rahim di Twitter.
Lah Adam pula berkata, “Pahang teruskan niat anda untuk membawa masuk Maradona bagi melatih skuad Pahang kerana bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti dan prestasi pemain Pahang namun mampu membuat Pahang malahan Malaysia terkenal satu dunia."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!